Positif Covid-19 itu kakak saya!

Ciapan @beruangwithme mencetuskan pelbagai reaksi mengenai dua individu positif Covid-19 yang dikesan di Perak semalam.
Ciapan @beruangwithme mencetuskan pelbagai reaksi mengenai dua individu positif Covid-19 yang dikesan di Perak semalam.
A
A
A

IPOH - Seorang pengguna Twitter mengesahkan dua individu dari Sitiawan yang disahkan positif koronavirus (Covid-19) merupakan kakaknya.

Pendedahan dibuat pemilik akaun @beruangwithme bahawa kedua kakaknya itu disahkan positif tanpa sebarang simptom Covid-19 dan hanya diketahui selepas melakukan ujian virus tersebut sebelum bekerja.

Menurutnya, hanya kakak keduanya bekerja di Johor dan telah berada di Sitiawan sejak 18 Mac lagi, namun mereka berhasrat pulang ke Johor untuk kembali bekerja.

"I have to clarify this (saya perlu perjelaskan perkara ini), angah aku balik Johor dulu (2 Mei) dan dapat tau positif (5 Mei).

"Langsung tak ada simptom sepanjang dua bulan lebih kat Manjung. Walaupun begitu, kami semua keluar dengan berjaga-jaga (dengan topeng muka) sebelum ada yang disahkan positif.

"Ramai yang pertikai kenapa kakak pulang ke rumah dari Johor sedangkan dia memang sudah berada di Manjung sejak 18 Mac," katanya menerusi ciapan di Twitter.

[ARTIKEL BERKAITAN] - Covid-19 kembali aktif di Perak

Menurutnya, kakak sulungnya hanya diketahui positif Covid-19 selepas kakak keduanya disahkan positif setelah menjalani ujian sebelum bekerja semula.

Katanya, kakak keduanya kini berada di sebuah hospital di Johor manakala seorang lagi dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, beliau dan beberapa ahli keluarga lain turut menjalani kuarantin di Pusat Kuarantin di Kolej Sains Kesihatan Bersekutu Sultan Azlan Shah, Ulu Kinta, di sini.

Beliau turut kecewa dengan pihak tertentu yang cuba memfitnah kedua-dua kakaknya dengan mengatakan mereka tidak menjalani kuarantin.

Dalam pada itu, beliau meminta rakyat Malaysia mendoakan kesihatan mereka sekeluarga dan berharap kedua-dua kakaknya bebas Covid-19.

Sinar Harian semalam melaporkan kes positif Covid-19 kembali aktif di Perak selepas dua beradik berusia 29 dan 30 tahun positif virus tersebut.