Dua individu rugi RM189,100 ditipu jual beli kereta, phone scam

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

KUANTAN - Dua individu mengalami kerugian keseluruhan RM189,100 selepas masing-masing diperdaya sindiket penipuan panggilan telefon (phone scam) dan jual beli kenderaan.

Ketua Polis Pahang, Datuk Yahaya Othman berkata, laporan polis berhubung kejadian itu diterima Jabatan Siasatan Jenayah Komersil dari Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan dan Temerloh.

Menurutnya, mangsa pertama, seorang kerani sebuah syarikat swasta, berusia 44 tahun terima panggilan telefon dari pihak kurier yang menyatakan bungkusan atas nama mangsa telah disekat pada Khamis.

"Panggilan itu disambungkan kepada pihak polis dan mangsa seterusnya diberitahu telah terlibat dengan sindiket pengubahan wang haram dikatakan memiliki waran tangkap di Ipoh.

"Mangsa berasa takut dan memindahkan wang ke dalam tiga akaun berbeza untuk tujuan siasatan," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Yahaya berkata, mangsa berasa curiga dan mula rasa ditipu setelah mengalami kerugian RM93,900.

"Sumber hasil kewangan mangsa adalah hasil daripada simpanannya," katanya.

Dalam kejadian lain, Yahaya memberitah,u seorang penyelia projek mengalami kerugian sebanyak RM95,200 setelah ditipu dalam urusan jual beli kenderaan yang tidak wujud dalam Facebook pada 11 Mei lalu.

Menurutnya, lelaki berusia 56 tahun itu dikatakan tertarik dengan tawaran membeli kereta Honda Jazz pada harga RM21,600.

"Mangsa telah membuat 17 kali transaksi kepada tiga akaun berbeza berjumlah RM95,200 setelah suspek memberikan pelbagai alasan untuk menjual kenderaan tersebut.

"Sumber hasil kewangan mangsa adalah daripada tuntutan insurans kemalangan dan simpanan mangsa," katanya.

Sehubungan itu, Yahaya menasihatkan orang ramai agar lebih berhati-hati dan membuat semakan terlebih dahulu bagi mengelak daripada menjadi mangsa penipuan.

"Masyarakat juga diingatkan supaya membuat semakan nombor akaun dan nombor telefon yang diterima di pautan https://semakmule.rmp. gov.my terlebih dahulu sebelum membuat sebarang transaksi," katanya.