SPRM kesan dua individu termasuk menantu Muhyiddin

Muhammad Adlan, Mansoor
Muhammad Adlan, Mansoor
A
A
A

PUTRAJAYA - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesan dua lelaki bagi membantu siasatan kes rasuah dan penyelewengan berhubung projek berkaitan pendaftaran, pengambilan serta penyimpanan biometrik pekerja asing di sebuah kementerian.

SPRM dalam satu kenyataan berkata, dua individu yang dikesan itu ialah Muhammad Adlan Berhan, 48, dengan alamat terakhir di Lot 65, Sunway Kiara Hills, Jalan 32/70A Desa Sri Hartamas, Kuala Lumpur, manakala individu kedua, Mansoor Saat, 69, yang beralamat terakhir di 5 Jalan SS19/1C Subang Jaya, Selangor.

Muhammad Adlan adalah menantu kepada Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin.

"Pelbagai usaha dilakukan oleh SPRM termasuk berhubung terus dengan kedua-dua penama dan peguam masing-masing, namun kedua-duanya masih gagal menghadirkan diri ke pejabat SPRM," kata SPRM pada Isnin.

Menurut SPRM, hasil semakan dengan Jabatan Imigresen Malaysia mendapati kedua-dua penama berkenaan masing-masing telah meninggalkan Malaysia pada 17 dan 21 Mei lalu.

"Semakan dengan imigresen turut mendapati tiada rekod masuk kembali ke negara ini oleh kedua-dua individu berkenaan.

"Sehubungan itu, orang ramai yang mengenali atau mempunyai maklumat mengenai individu terlibat diminta menghubungi pegawai penyiasat, Nur Muhammad Amin Jamaluddin di talian 03-88700799 atau 016-4322 699 atau emel kepada amin.jamaluddin@sprm.gov.my," katanya.