Speaker terima usul undi tidak percaya terhadap Muhyiddin

Mohamad Ariff
Mohamad Ariff
A
A
A

KUALA LUMPUR - [KEMAS KINI] Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Mohamad Ariff Mohd Yusof menerima usul Ahli Parlimen Langkawi, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk mengemukakan undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Menurut Mohamad Ariff, usul tersebut diterima di bawah Perkara 27 (3) Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat dan akan dibincangkan dalam Parlimen pada 18 Mei nanti.

"Satu usul di bawah Peraturan Mesyuarat 27 (3) yang membangkitkan iaitu: Mengemukakan resolusi untuk membuat ketetapan bahawa Muhyiddin Yassin sebagai ahli yang berhormat Pagoh tidak mempunyai majoriti ahli-ahli yang berhormat Dewan Rakyat.

"Usul di bawah Peraturan Mesyuarat 27 (3) diterima untuk dibawa ke mesyuarat Dewan Rakyat kelak," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Selain itu, Dr Mahathir turut mengusulkan supaya Mohamad Arif dikekalkan sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat sehingga Parlimen dibubarkan namun perkara itu ditolak kerana tidak memenuhi peraturan mesyuarat.

[ARTIKEL BERKAITAN] - Tun M usul undi tidak percaya PM?

Dalam pada itu, Mohamad Ariff dalam kenyataannya berkata, pihaknya turut menerima usul yang sama daripada Ahli Parlimen Batu Sapi, Datuk Liew Vui Keong yang memaklumkan bahawa Muhyiddin tidak mempunyai keyakinan daripada majoriti Ahli-Ahli Dewan Rakyat.

Vui Keong turut meminta supaya Parlimen dibenarkan bersidang selama lapan hari berbanding hanya satu hari sahaja kerana ia bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.

Mohamad Arif memutuskan sebahagian usul itu ditolak dengan alasan usul dikemukakan tidak perlu disegerakan dan sebahagian diterima kerana ia perkara tertentu, untuk kepentingan orang ramai dan perlu disegerakan boleh dibawa ke Mesyuarat Dewan Rakyat.

Artikel Berkaitan:

Semalam Sinar Harian melaporkan, Mohamad Ariff mengesahkan menerima usul yang dicadangkan oleh Ahli Parlimen Semporna, Datuk Seri Shafie Apdal semalam.

[ARTIKEL BERKAITAN] - YDP Dewan Rakyat sahkan terima usul Shafie Apdal

Usul itu adalah mengenai ketetapan bahawa Ahli Parlimen Langkawi, Tun Dr Mahathir Mohamad mempunyai keyakinan majoriti oleh ahli-ahli Dewan Rakyat menurut Peraturan Mesyuarat 26(1) dibaca bersama Peraturan Mesyuarat 27(3).

Bagaimanapun, Mohamad Arif tidak membenarkan usul Ahli Parlimen Semporna dibawa ke dalam Dewan Rakyat itu.

Beliau mendapati perkara tersebut adalah tidak selari dengan Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan kerana ia mempertikaikan kuasa Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dalam urusan pelantikan jawatan Perdana Menteri.

Pada 17 April lalu, Setiausaha Dewan Rakyat, Riduan Rahmat mengeluarkan notis kepada semua ahli Parlimen bahawa Dewan Rakyat hanya bersidang sehari iaitu pada 18 Mei ini.

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah akan menyampaikan titah diraja ketika merasmikan Parlimen pada jam 10 pagi pada hari tersebut.

Sekretariat Dewan Rakyat juga memberitahu bahawa hanya undang-undang dan hal-hal kerajaan yang berkaitan dengan isu memerangi Covid-19 akan menjadi fokus perbincangan Dewan Rakyat.

Oleh itu, ia menyatakan bahawa pada hari tersebut tidak akan ada sesi soal jawab, sesi pertanyaan lisan, pertanyaan bertulis atau usul yang dikemukakan di Dewan.

Parlimen sepatutnya bersidang pada 9 Mac lalu tetapi ditangguhkan susulan Perikatan Nasional yang diketuai Muhyiddin mengambil alih pentadbiran berikutan kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan (PH). Muhyiddin kemudian dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong sebagai Perdana Menteri.

Dalam pada itu, Mohamad Arif berkata, beliau perlu meneliti dan memastikan segala usul yang dikemukakan hendaklah menepati serta mematuhi peruntukan Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat yang sedia ada kerana beliau berpendapat ia adalah sebahagian daripada keluhuran undang-undang.

"Dalam hal ini, apa jua pertimbangan dan keputusan yang dibuat oleh Yang di-Pertua Dewan Rakyat perlu bersifat adil dan saksama serta menjaga integriti Dewan Rakyat dan Parlimen sentiasa terpelihara," katanya.

USUL YANG DIKEMUKAKAN

Yang Berhormat Datuk Liew Vui Keong (Ahli Parlimen Batu Sapi)

Usul di bawah Peraturan Mesyuarat 18 daripada Yang Berhormat Batu Sapi bertarikh 1 Mei 2020 yang membangkitkan iaitu: Mengemukakan resolusi untuk membuat ketetapan bahawa Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Ahli Yang Berhormat Pagoh tidak mempunyai keyakinan majoriti Ahli-Ahli Yang Berhormat Dewan Rakyat.

Mengemukakan resolusi untuk membuat ketetapan bahawa Ahli Yang Berhormat Langkawi mempunyai keyakinan majoriti Ahli-ahli Yang Berhormat Dewan Rakyat.

Majlis Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 yang dijadualkan selama satu hari adalah bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.

Parlimen berhak mengawal selia tatacaranya sendiri dan ia adalah tidak terikat dengan mana- mana peraturan terutamanya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Mengemukakan cadangan agar Sidang Dewan Rakyat dilanjutkan daripada satu hari menjadi lapan hari.

ULASAN SPEAKER DEWAN RAKYAT

Atas pertimbangan berdasarkan penjelasan yang telah dikemukakan, saya memutuskan agar sebahagian DITOLAK dengan alasan usul dikemukakan tidak perlu disegerakan dan sebahagian DITERIMA kerana ia perkara tertentu, untuk kepentingan orang ramai dan perlu disegerakan boleh dibawa ke Mesyuarat Dewan Rakyat kelak.

--------------------------------------------------------------------------

Yang Berhormat Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal (Ahli Parlimen Semporna)

Usul di bawah Peraturan Mesyuarat 27 (3) daripada Yang Berhormat Semporna bertarikh 1 Mel 2020 diterima pada 4 Mei 2020 yang membangkitkan iaitu: Membuat ketetapan bahawa Ahli Yang Berhormat Langkawi mempunyai keyakinan majoriti Ahli-ahli Yang Berhormat Dewan Rakyat.

Dengan niat tidak bertentangan kepada Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan iaitu Kuasa Melantik seorang Perdana Menteri oleh Yang di-Pertuan Agong, usul ini dizahirkan melalui Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat (Parlimen Malaysia) ini sebagai penzahiran akan perkara ini kepada seluruh rakyat dan juga sebagai sembah maklum kepada Yang di-Pertuan Agong/Istana Negara.

ULASAN SPEAKER DEWAN RAKYAT

Atas pertimbangan berdasarkan penjelasan yang telah dikemukakan, saya memutuskan agar usul di bawah Peraturan Mesyuarat 27(3) ini DITOLAK kerana usul dikemukakan tidak selari dengan Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan.

------------------------------------------------------------------------------

Yang Berhormat Tun Dr Mahathir Mohamad (Ahli Parlimen Langkawi)

Pada 4 Mei 2020, saya telah menerima 2 usul daripada Yang Berhormat Ahli Parlimen Langkawi laitu satu usul di bawah Peraturan Mesyuarat 4 yang membangkitkan laitu: Membuat ketetapan bahawa Tuan Yang di-Pertua Dewan Rakyat Bagi Penggal ini dikekalkan sehingga Dewan yang mulia ini dibubarkan.

Satu usul di bawah Peraturan Mesyuarat 27(3) yang membangkitkan iaitu: Mengemukakan resolusi untuk membuat ketetapan bahawa Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Ahli Yang Berhormat Pagoh tidak mempunyai keyakinan majoriti Ahli-ahli Yang Berhormat Dewan Rakyat.

ULASAN SPEAKER DEWAN RAKYAT

Setelah diteliti berdasarkan penjelasan yang dikemukakan, saya memutuskan bahawa usul di bawah Peraturan Mesyuarat 4 adalah DITOLAK kerana tidak mematuhi Peraturan Mesyuarat.

Manakala usul di bawah Peraturan Mesyuarat 27(3) DITERIMA untuk dibawa ke Mesyuarat Dewan Rakyat kelak.