Kami akan lebih berhati-hati!

Noor Azmi dan Razman menaiki kenderaan sama sejurus selesai pertuduhan di Mahkamah Majistret Gerik hari ini.
Noor Azmi dan Razman menaiki kenderaan sama sejurus selesai pertuduhan di Mahkamah Majistret Gerik hari ini.
A
A
A

GERIK - Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali dan Exco Perak, Razman Zakaria akur dengan sistem perundangan negara dan akan lebih berhati-hati selepas ini dalam apa juga perkara berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Kedua-dua pemimpin itu kesal dengan tindakan dilakukan mereka dan berjanji tidak akan mengulangi pelanggaran perintah yang dilaksanakan kerajaan itu.

"Saya akur dengan perundangan dan sistem kehakiman di negara ini, selepas ini saya akan lebih berhati-hati," kata Noor Azmi ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN - Timbalan Menteri Kesihatan, Exco Perak mengaku salah ingkar PKP

Ahli Parlimen Bagan Serai itu bersama Razman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gunung Semanggol hari ini mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Gerik atas kesalahan ingkar PKP dalam satu majlis di Lenggong pada 17 April lalu.

Kedua-duanya diperintahkan membayar denda RM1,000 atau sebulan penjara jika gagal bayar.

Noor Azmi turut mengulangi permohonan maaf atas kekhilafan dilakukan berhubung majlis berkenaan.

"Semua dah selesai, saya mohon maaf dan ucap terima kasih kepada yang menyokong dan mendoakan saya.

Artikel Berkaitan:

"Saya akan teruskan perjuangan untuk berikan kesihatan yang terbaik untuk rakyat Malaysia," katanya.

Minggu lalu, tular di media sosial gambar kedua-dua pemimpin itu sedang makan di sebuah maahad tahfiz di Lenggong ketika PKP dilaksanakan.

Tindakan mereka mengundang kecaman orang ramai yang meminta pihak berkuasa supaya tidak 'memilih bulu' dalam mengambil tindakan.