X

Kindly register in order to view this article
!

Timbalan Menteri Kesihatan, Exco Perak mengaku salah ingkar PKP

Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Dr Noor Azmi Ghazali (tengah) dan Exco Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, NGO dan Masyarakat Sivil Perak Razman Zakaria (kiri). - Foto Bernama
A
A

GERIK - [DIKEMAS KINI] Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali dan Exco Perak, Razman Zakaria didenda RM1,000 oleh Mahkamah Majistret Gerik selepas mengaku salah ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dalam satu majlis di Lenggong, minggu lalu.

Dr Noor Azmi, 59, dan Razman, 60, membuat pengakuan itu bersama 13 individu lain termasuk adik kepada Timbalan Menteri Kesihatan sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret, Norhidayati Mohammad Nasroh.

Mengikut kertas pertuduhan, kesemua dituduh didakwa dengan niat secara bersama telah berhimpun di dalam kawasan tempatan jangkitan bagi maksud sosial di sebuah maahad tahfiz di Kampung Luat, Lenggong di sini antara jam 6 hingga 7 petang, 17 April lalu.

Mereka didapati melakukan kesalahan di bawah Peraturan 6 (1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020.

Kesalahan itu boleh dihukum di bawah Peraturan 11, peraturan yang sama iaitu hukuman denda RM1,000, atau penjara enam bulan atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh bersama ahli rombongan dalam lawatan kerja rasmi Timbalan Menteri Kesihatan ke Klinik Kesihatan Lenggong bagi meninjau persiapan, permasalahan dan keperluan Pejabat Kesihatan Daerah Hulu Perak dalam mengawal penularan wabak koronavirus (Covid-19).

Selesai lawatan kerja itu, kesemua tertuduh singgah di maahad tahfiz berkenaan untuk menunaikan solat Asar dan memberi sumbangan kepada wakil penduduk kampung sebelum berhimpun di dewan sekolah itu untuk jamuan makan.

Selepas jamuan, beberapa keping gambar tertuduh bersama rombongan makan telah dimuatnaik ke dalam Facebook dan tindakan berhimpun itu telah melanggar peraturan tersebut.

Norhidayati dalam penghakimannya berkata, hukuman berbentuk denda adalah memadai bagi kesalahan itu setelah melihat kepada tujuan tertuduh berhimpun iaitu menunaikan solat Asar serta memberi sumbangan.

"Mengambil kira tujuan berhimpun ini bukanlah bertujuan tidak berfaedah tetapi yang baik, membantu masyarakat setempat yang berdepan Covid-19.

"Bagaimanapun saya mendapati tujuan berhimpun sedemikian bukanlah suatu pengecualian tetapi yang penting ia turut memberi risiko besar dalam penularan wabak itu," katanya.

Terdahulu, kesemua tertuduh yang diwakili peguam, Nor Zahari Ismail memohon mahkamah memberi hukuman ringan setelah tertuduh membuat permohonan maaf secara terbuka selain telah menyesal dengan perbuatan yang dilakukan dan berjanji tidak akan melakukannya lagi.

Bagaimanapun, pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Azhar Mokhtar dan Mohamad Amri Alfikri Mohamad Dasuki setiap tertuduh perlu dihukum berdasarkan fakta yang telah dikemukakan kepada pihak mahkamah.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!