OPR 3 peratus selari dengan pengukuhan ekonomi negara - BNM

Laporan Sinar Harian.
Laporan Sinar Harian.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bank Negara Malaysia (BNM) berkata, kadar dasar semalaman (OPR) pada tiga peratus membawa kembali kadar faedah penanda aras itu ke paras sebelum krisis dan lebih selaras dengan keadaan ekonomi yang lebih kukuh.

Bank pusat dalam Ringkasan Pernyataan Dasar Monetari (MPS) bagi Mei 2023 yang dikeluarkan hari ini berkata, keputusan Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) untuk menaikkan OPR kepada tiga peratus daripada 2.75 peratus sebelumnya adalah disebabkan ekonomi Malaysia telah mencatatkan pengukuhan.

"Penting untuk memastikan OPR berada pada tahap yang wajar bagi membendung isu yang boleh timbul daripada tempoh kadar faedah rendah yang berpanjangan contohnya, terlalu banyak pinjaman.

"Kami akan memastikan OPR kita menyokong pertumbuhan yang mampan dan pada masa yang sama terus mengawal inflasi,” kata BNM yang menjangkakan ekonomi Malaysia kekal berdaya tahan dan Inflasi akan menjadi reda namun masih kekal tinggi.

Tinjauan di laman web BNM menunjukkan OPR dikekalkan pada tiga peratus sejak Mei 2019 sebelum diturunkan sebanyak 25 mata asas kepada 2.75 peratus pada Januari 2020 apabila pandemik Covid-19 melanda.

Bank pusat menjangkakan Ekonomi Malaysia kekal berkembang pada tahun ini apabila projek berskala besar terus berjalan dengan lancar dan kadar pengangguran semakin menurun ke tahap sebelum krisis lantas menyokong perbelanjaan isi rumah.

Bilangan kedatangan pelancong yang semakin ramai juga dijangka dapat menyokong perniagaan tempatan, katanya.

BNM berkata, meskipun berdepan cabaran, pertumbuhan global dijangka terus disokong oleh pasaran pekerjaan yang kukuh dan pemulihan ekonomi China. - Bernama