Isu kewangan TH: Pas minta perincian

Nasrudin Hassan
Nasrudin Hassan
A
A
A

SHAH ALAM - Pas mendesak Lembaga Tabung Haji (TH) memperincikan beberapa perkara di bawah pelan pemulihan kedudukan kewangan semasa badan itu.

Ketua Penerangannya, Nasrudin Hassan berkata, antara perkara tersebut adalah berkaitan perincian aset-aset yang telah dipindahkan kepada syarikat tujuan khas (SPV).

Menurutnya, ini kerana pemindahan aset-aset tersebut hanya dimaklumkan secara kasar dan ia memerlukan perincian supaya pendeposit mengetahui tentang pelaburan TH.

"Sebanyak 106 ekuiti domestik yang tersenarai daripada pelbagai sektor perniagaan, satu syarikat peladangan dan 29 buah hartanah.

"Pas meminta pihak TH untuk mendedahkan butiran termasuk nilai keseluruhan aset yang telah dipindahkan tersebut," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

[ARTIKEL BERKAITAN: TH pindahkan ekuiti kepada SPV]

Sebelum ini TH menyatakan pihaknya mula memindahkan aset daripada portfolio pelaburan ekuitinya kepada SPV, Urusharta Jamaah Sdn Bhd, sebagai sebahagian daripada langkah penstrukturan semula.

Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia, TH bukan lagi menjadi pemegang saham utama dalam beberapa syarikat senaraian susulan pemindahan saham berkenaan, termasuk Malakoff Corporation Bhd (500 juta saham dipindahkan), UEM Sunrise Bhd (348.87 juta saham), IJM Corporation Bhd (227.31 juta saham), Hap Seng Plantations Holdings Bhd (66.07 juta saham), Dayang Enterprise Holdings Bhd (76.37 juta saham) dan Pintaras Jaya Bhd (11.35 juta saham).

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Nasrudin berkata, TH juga perlu memberi penerangan lanjut tentang keputusan meletakkan badan itu di bawah Bank Negara Malaysia (BNM).

"Sebagaimana kenyataan Datuk Seri Zukri Samat (Ketua Pegawai Eksekutif) bahawa fungsi utama TH bukan pengurus dana tetapi mengurus haji. Maka sekiranya TH di letakkan dibawah BNM adakah fungsinya diurus sebagai sebuah bank?

"Tambahan pula, TH tertakluk kepada Akta Tabung Haji 1995. Di bawah seliaan BNM, akta manakah yang akan diguna pakai? Adakah Akta Bank dan Institusi Kewangan 1989? Fokus seliaan tersebut adalah merangkumi polisi pelaburan dan penentuan strategi pengagihan aset strategik," katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menyokong laporan polis ketiga yang dilakukan oleh TH bagi menyiasat dakwaan sekiranya terdapat kesilapan akaun yang dilakukan pengurusan lama.

"Semoga kemelut urus tadbir dan kewangan TH akan dapat diselesaikan secara adil bagi memastikan wibawa institusi kewangan terbesar umat Islam di Malaysia dipulihara semula," katanya.

[ARTIKEL BERKAITAN: Isu pembayaran hibah langgar akta, TH buat laporan polis]

Semalam Lembaga dan pengurusan baharu TH membuat laporan polis ketiga berhubung akaun kewangan 2017 dan bagaimana representasi oleh eksekutif kanan yang membawa kepada pengumuman hibah yang bercanggah dengan Akta Tabung Haji 1995.