'Pas minta Jeli, Gua Musang'

Mohd Amar (kanan) merasmikan Karnival Kelantan Maju pada Khamis.
Mohd Amar (kanan) merasmikan Karnival Kelantan Maju pada Khamis.
A
A
A

KOTA BHARU - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Kelantan bersetuju memberi dua daripada lapan kerusi kepada Pas bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) namun keputusan kawasan belum dimuktamadkan lagi.

Naib Presiden Pas Pusat, Datuk Mohd Amar Abdullah berkata, walaupun pembahagian kerusi sudah selesai namun penentuan dua kerusi masih dibincangkan.

"Kita minta di Jeli dan Gua Musang. Kita ada yang kita nak, dia pun ada yang dia nak...itu yang jadi tidak selesai," katanya kepada pemberita selepas Perasmian Karnival Kelantan Maju di sini pada Khamis.

Beliau berkata, Pas perlu bertanding di kawasan berkenaan bagi memberi sokongan moral kepada ahli parti.

"Kita perlu ada satu kerusi supaya memberikan semangat yang lebih tinggi kepada ahli dan petugas Pas untuk bekerja pada PRN," katanya.

Beliau memberitahu, calon yang bertanding melibatkan pertukaran kerusi antara 25 hingga 30 peratus dan kali ini membabitkan ramai golongan profesional.

"Nama saya turut dicalonkan tetapi saya serahkan kepada parti yang membuat keputusan," katanya.

Sementara itu, Mohd Amar Amar turut memaklumkan pembahagian kerusi Perikatan Nasional (PN) sudah 95 peratus di seluruh negara dan hanya beberapa lagi yang perlu dirundingkan kerana menjadi perebutan.

Justeru katanya, perbincangan secara terperinci perlu bagi membolehkan peluang besar untuk menang.

"Saya tidak terlibat dalam pembahagian itu tetapi saya dimaklumkan ada beberapa kerusi yang bertindih.

"Setiap negeri ada isu yang sama tetapi secara umumnya 95 peratus itu selesai," katanya.

Ketika ditanya mengenai dakwaan bahawa berlaku pertelagahan antara Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Hamzah Zainuddin, Mohd Amar mengakui tidak tahu situasi itu.

"Saya tidak tahu perkara itu. Bagi saya itu semua serangan saraf politik dan spekulasi selain ada individu yang suka memberi tafsiran. Itu yang menjadi masalah," katanya.