PM yakin Abdul Rasheed mampu kukuh kedudukan kewangan negara

Anwar bertemu Shaik Abdul Rasheed
Anwar bertemu Shaik Abdul Rasheed
A
A
A

SHAH ALAM - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan keyakinan Gabenor Bank Negara (BNM) baharu, Datuk Shaik Abdul Rasheed Abdul Ghaffour mampu meneruskan kebijakan monetari yang mampan dan stabil.

Ujarnya, ia secara tidak langsung berupaya meningkatkan kedudukan kewangan negara menjadi lebih baik, kukuh dan stabil.

“Saya mempunyai keyakinan yang tinggi terhadap beliau bagi memastikan kedudukan kewangan negara ditingkatkan menjadi lebih baik, kukuh dan stabil.

“Saya menaruh sepenuh kepercayaan kepada Gabenor yang baharu dalam mendepani tantangan semasa lantas mencipta lonjakan yang baharu buat negara tercinta,” katanya dalam satu hantaran di Facebook pada Selasa.

Dalam pada itu, beliau turut mengucapkan penghargaan terhadap Gabenor Bank Negara Kesembilan, Tan Sri Nor Shamsiah atas jasa dan bakti sepanjang berkhidmat terutama semasa wabak Covid-19 menyerang negara.

Shaik bakal mengambil alih jawatan gabenor daripada Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus yang akan menamatkan khidmat baktinya pada 30 Jun ini.