Pindaan Kaedah-Kaedah Perikanan Perak di peringkat akhir

KUALA KANGSAR – Pindaan Kaedah-Kaedah Perikanan Sungai Perak 2026 dan Kaedah-Kaedah Perikanan (Akuakultur Perikanan Darat) Perak 2026 kini berada di peringkat akhir sebelum dibentangkan kepada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK) untuk kelulusan pewartaan.
Exco Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Perak, Datuk Mohd Zolkafly Harun berkata, Jabatan Perikanan Perak sedang melaksanakan pengemaskinian akhir kedua-dua draf kaedah berkenaan selepas menerima maklum balas daripada Penasihat Undang-Undang Negeri.
Menurutnya, draf berkenaan akan dibentangkan kepada pejabat Exco terlebih dahulu sebelum diangkat ke MMK untuk pertimbangan dan kelulusan.
"Jabatan Perikanan Perak sedang dalam proses akhir pengemaskinian draf Kaedah Perikanan Sungai Perak 2026 dan Kaedah-Kaedah Perikanan (Akuakultur Perikanan Darat) Perak 2026 sebelum diangkat ke MMK.
"Kedua-dua draf ini telah menerima komen dan cadangan daripada Penasihat Undang-Undang Negeri untuk penambahbaikan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menyempurnakan Majlis Kemuncak Fiesta Ikan Perak 2026 di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Sungai Perak arah selatan di sini pada Jumaat.
Mengulas kemungkinan kedua-dua kaedah itu dibawa untuk kelulusan MMK tahun ini, Mohd Zolkafly berkata, ia bergantung kepada keputusan akhir Penasihat Undang-Undang Negeri.
Menurutnya, masih terdapat tiga lagi mesyuarat Exco kerajaan negeri sehingga 21 Disember ini yang boleh dimanfaatkan sekiranya proses semakan undang-undang selesai dalam tempoh berkenaan.
"Kalau kita dapat kepastian dan keputusan muktamad daripada Penasihat Undang-Undang Negeri, kita boleh angkat dalam satu daripada tiga mesyuarat Exco terakhir itu.
"Jika tidak sempat, kita akan bawa pada awal Januari tahun depan untuk proses pewartaan," katanya.
Pada 8 September 2024, Mohd Zolkafly dilaporkan berkata, Jabatan Perikanan Perak akan meminda Kaedah-Kaedah Perikanan (Sungai) Perak 1992 susulan kehadiran pelbagai spesies ikan asing di sungai-sungai negeri ini.
Pindaan itu antara lain bertujuan mengawal aktiviti pelepasan ikan asing oleh individu atau pertubuhan tanpa kawalan, selain memulihara populasi ikan asli di perairan sungai.
Dalam perkembangan berkaitan, Mohd Zolkafly berkata, Perak terus mengekalkan kedudukan sebagai antara pengeluar utama ikan negara apabila mencatatkan pendaratan ikan air tawar tertinggi pada 2025 sebanyak 2,658 tan metrik bernilai RM37.2 juta.
Beliau berkata, kerajaan negeri turut memperuntukkan RM200,000 kepada Jabatan Perikanan Malaysia Negeri Perak bagi program pelepasan benih ikan asli dan udang ke perairan umum bagi memastikan kelestarian sumber perikanan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

