Perak rekodkan pengeluaran 10,590 tan kerang dalam tempoh 10 bulan

Mohd Zolkafly (dua dari kiri) meninjau pelepasan benih kerang ketika meninjau 24 lot kebun kerang di Bagan Datuk pada Jumaat.
Mohd Zolkafly (dua dari kiri) meninjau pelepasan benih kerang ketika meninjau 24 lot kebun kerang di Bagan Datuk pada Jumaat.
A
A
A

BAGAN DATUK - Sebanyak 10,590 tan metrik kerang direkodkan didaratkan di Perak dalam tempoh 10 bulan pertama tahun ini menerusi aktiviti akuakultur kerang di dasar laut.

Exco Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Perak, Datuk Mohd Zolkafly Harun berkata, jumlah pengeluaran itu menunjukkan potensi besar subsektor akuakultur kerang dalam menyumbang kepada ekonomi negeri serta keterjaminan bekalan makanan.

Menurutnya, bagi memperkukuh industri berkenaan, kerajaan melaksanakan Program Kebun Kerang Negeri Perak 2026 dengan sokongan peruntukan Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri berjumlah RM3.6 juta bagi fasa perintis selama dua tahun.

Mohd Zolkafly (dua dari kiri) dan Mohd Ghazali (dua dari kanan) menunjukkan hasil kerang Perak sempena Program Kebun Kerang Negeri Perak 2026 di Bagan Datuk pada Jumaat.
Mohd Zolkafly (dua dari kiri) dan Mohd Ghazali (dua dari kanan) menunjukkan hasil kerang Perak sempena Program Kebun Kerang Negeri Perak 2026 di Bagan Datuk pada Jumaat.

Beliau berkata, program strategik itu memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan pendapatan komuniti pesisir pantai selain memperkukuh bekalan kerang bagi memenuhi permintaan pasaran.

"Program ini merangkumi empat daerah pesisir pantai iaitu Manjung, Kerian, Larut Matang dan Selama (LMS) serta Hilir Perak.

"Di Bagan Datuk sahaja, sebanyak 24 lot kebun kerang bagi fasa pertama telah disediakan dengan keluasan 21 hektar bagi setiap lot," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Kebun Kerang Negeri Perak 2026 di sini pada Jumaat.

Hadir sama, Pengarah Perikanan Perak, Mohd Ghazali Abdul Manap dan Pegawai Daerah Bagan Datuk, Nazrul Fazami Mohamad.

Artikel Berkaitan:

Sebelum itu, Mohd Zolkafly mengadakan lawatan kerja bagi meninjau 24 lot kebun kerang di Bagan Datuk yang meliputi kawasan dari Sungai Tiang hingga Sungai Belukang di perairan Bagan Datuk.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pakej bantuan peralatan bernilai hampir RM800,000 turut diserahkan kepada peserta bagi membantu kelancaran operasi ternakan kerang.

Katanya, bantuan itu merangkumi kelengkapan teknikal termasuk kor kerang, benih kerang berkualiti tinggi serta peranti Sistem Penentududukan Sejagat (GPS) untuk navigasi laut.

"Ada permintaan dari negara luar termasuk Thailand, tetapi ketika ini pengeluaran kerang mencukupi untuk memenuhi keperluan pasaran domestik.

"Namun, jika terdapat lebihan pengeluaran, kerang berkenaan berpotensi dipasarkan ke negara lain," katanya.

Mengulas perkembangan projek kebun kerang di Bagan Datuk, Mohd Zolkafly berkata, pelaksanaannya akan diperluas secara berperingkat dengan 13 pengusaha tambahan dikenal pasti bagi fasa kedua.

Menurutnya, fasa berkenaan melibatkan 10 individu, sebuah koperasi dan dua syarikat yang dipilih berdasarkan permohonan, kesesuaian kawasan serta hasil kajian Jabatan Perikanan dan agensi berkaitan.

"Kita juga menjangkakan kira-kira 14 pengusaha lagi bagi fasa ketiga, tertakluk kepada kelulusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK).

"Kita berharap pelaksanaan program ini dapat meningkatkan daya saing subsektor akuakultur Perak dan menjadikan negeri ini antara hab pengeluaran kerang utama negara, selaras dengan agenda Perak Sejahtera 2030," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!