Dua vesel tempatan langgar syarat lesen, 220kg ikan dirampas

LUMUT - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menahan dua vesel nelayan tempatan (VNT) Kelas B dan C selepas disyaki melanggar syarat sah lesen ketika beroperasi di perairan Tanjung Akuan di sini pada Rabu.
Pengarah Maritim Negeri Perak, Kepten Maritim Zainudin Mohd Zuki berkata, kedua-dua vesel itu ditahan pada kedudukan kira-kira 4.8 dan 5.5 batu nautika barat daya Tanjung Akuan masing-masing pada jam 6.40 dan 6.50 pagi.
Menurutnya, penahanan dilakukan aset Maritim Malaysia yang menjalankan rondaan rutin bagi memastikan pematuhan undang-undang serta membanteras aktiviti menyalahi peraturan di laut.
"Pemeriksaan mendapati kedua-dua vesel berpangkalan di Pantai Remis dan Bagan Panchor dikendalikan dua tekong serta tiga kru warga Myanmar berusia antara 22 hingga 52 tahun.
"Hasil pemeriksaan lanjut mendapati vesel berkenaan disyaki melanggar syarat sah lesen, antaranya beroperasi kurang daripada jarak minimum lima dan 15 batu nautika dari pantai atau daratan yang ditetapkan mengikut kelas vesel masing-masing," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Beliau berkata, pemilik vesel turut disyaki tidak mengusahakan sendiri vesel berkenaan manakala tekong dan kru warga Myanmar terbabit didapati tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.
Katanya, kes disiasat mengikut Akta Perikanan 1985 berhubung pelanggaran syarat lesen termasuk had jarak operasi dan pemilikan vesel selain Akta Imigresen 1959/63 berkaitan kesalahan imigresen.
"Kesemua nelayan ditahan manakala kedua-dua vesel, hasil tangkapan ikan dianggarkan seberat 220 kilogram serta peralatan menangkap ikan dirampas.
"Semua rampasan diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut," katanya.
Zainudin berkata, pihaknya akan terus mempergiat penguatkuasaan bagi memastikan semua vesel nelayan mematuhi syarat lesen ditetapkan, sekali gus memelihara sumber perikanan serta menjamin keselamatan aktiviti perikanan di perairan negara.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan pelanggaran undang-undang di laut boleh menghubungi talian kecemasan 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Perak di talian 05-683 8737.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

