Ikan berterabur atas jalan

BAGAN DATUK – Sebuah lori membawa muatan pelbagai jenis ikan terbabas di bahu jalan dari Hutan Melintang menghala ke Kampung Kota di sini pada Rabu.
Kejadian kira-kira jam 6.40 petang itu menyebabkan muatan ikan dibawa lori jenis Isuzu berkenaan bertaburan di atas jalan raya sehingga berisiko membahayakan pengguna jalan raya lain.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Hutan Melintang, Penolong Penguasa Bomba Mohd Azroisan Wahab berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu sebelum sebuah jentera bersama tujuh anggota digerakkan ke lokasi.
Menurutnya, jentera tiba di lokasi pada jam 6.52 petang dan anggota mendapati pemandu lori yang mengalami kecederaan ringan telah keluar dari kenderaan sebelum kerja-kerja pembersihan dijalankan bagi memastikan keadaan jalan kembali selamat.

"Pasukan operasi menggunakan dua aliran hos salur bantu mula daripada air tangki jentera bagi membersihkan permukaan jalan yang dipenuhi ikan.
"Kerja-kerja pembersihan dilakukan sehingga keadaan jalan kembali bersih dan selamat untuk dilalui kenderaan," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Mohd Azroisan berkata, operasi berkenaan tamat sepenuhnya pada jam 8.20 malam selepas pihaknya memastikan keadaan di lokasi terkawal dan tiada lagi risiko kepada pengguna jalan raya.

Beliau turut menasihati orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa berhati-hati serta mematuhi had laju ditetapkan ketika memandu, khususnya di laluan utama.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

