Pegawai polis disamun empat warga Pakistan bersenjata tajam

Kesemua suspek ditahan dalam dua serbuan di Kuala Lumpur. Foto hiasan
Kesemua suspek ditahan dalam dua serbuan di Kuala Lumpur. Foto hiasan
A
A
A

BUKIT MERTAJAM - [DIKEMAS KINI] Polis mereman empat warga Pakistan bagi membantu siasatan kes samun bersenjata tajam hingga mengakibatkan seorang pegawai polis cedera, dalam kejadian berhampiran sebuah stesen minyak di Jalan Samagagah, Permatang Pauh di sini pada Selasa.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Dennis Lim Kwang Keng berkata, dua lelaki dan dua wanita berusia 23 hingga 36 tahun itu kini direman hingga 17 November ini untuk siasatan mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan.

"Polis sedang menjalankan siasatan lanjut berhubung kejadian itu. Kesemua individu itu ditahan dalam dua serbuan di Kuala Lumpur petang semalam serta awal pagi hari ini," katanya ketika dihubungi Bernama pada Khamis.

Dalam kejadian itu, lelaki berusia 43 tahun itu cedera selepas disamun empat suspek yang bersenjatakan objek tajam.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Aminuddin Raja Abdullah dilaporkan berkata, kejadian kira-kira 11.30 pagi itu dipercayai melibatkan suspek warga asing dari negara Asia Tengah dengan dua daripadanya adalah wanita.

Suspek dipercayai bertindak agresif dan menggunakan objek besi tajam sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan sebelum melarikan barangan peribadi milik mangsa, dengan kerugian keseluruhan dianggarkan RM10,000.

Modus operandi kumpulan itu adalah dengan meminta sumbangan wang daripada orang awam yang berada di kawasan stesen minyak sebelum bertindak melakukan jenayah samun. - Bernama

 

 

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!