MP DAP terkejut Parlimen bersidang hanya sehari

Teresa Kok
Teresa Kok
A
A
A

SHAH ALAM - Ahli Parlimen DAP terkejut apabila menerima e-mel daripada Setiausaha Dewan Rakyat, Riduan Rahmat yang memberi notis Mesyuarat Pertama, Penggal Ketiga, Persidangan Parlimen Ke-14 hanya akan diadakan selama sehari.

Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok berkata, persidangan itu pada awalnya dirancang pada 9 Mac kemudian ditangguhkan sehingga 18 Mei dan akan diadakan sehari kerana pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Ini sama sekali tidak dapat diterima dan bertentangan dengan konsep demokrasi berparlimen yang telah lama diadakan.

"Kerajaan Perikatan Nasional tidak memiliki dasar yang sah untuk membatasi sesi Parlimen ini hanya satu hari walaupun dalam tempoh PKP. Kita telah melihat bahawa banyak negara demokrasi seperti United Kingdom dan Amerika Syarikat mengadakan sesi Parlimen biasa.

"Lebih baik lagi, Korea Selatan bahkan mengadakan Pilihanraya Umum semalam, di bawah sekatan pandemik yang teruk," kata Teresa dalam satu kenyataan di Facebooknya malam tadi.

Teresa berkata, e-mel yang dihantar Riduan mengatakan tidak akan ada 'sesi soal jawab lisan, soalan bertulis, usul dan persidangan khas' dalam satu hari persidangan itu.

"Oleh itu, alasan yang disebut dalam surat Parlimen kita (Malaysia) tidak masuk akal," katanya.

Artikel Berkaitan:

Tangkap layar surat yang diterima Kok yang dikongsikan di Facebooknya malam tadi.
Tangkap layar surat yang diterima Kok yang dikongsikan di Facebooknya malam tadi.

Katanya lagi, kerajaan Perikatan Nasional tanpa rasa malu dan terang-terangan menunjukkan penghinaan terbuka terhadap peranan dan fungsi Parlimen.

"Ini menyekat kewajipan anggota Parlimen untuk memeriksa pemerintah dalam membelanjakan wang rakyat.

"Dengan berbuat demikian, pemerintah berusaha membendung dan meruntuhkan peranan Parlimen yang sah dan konsep pemisahan kuasa dalam menghalang perbahasan mengenai pakej rangsangan.

"Kerajaan secara terang-terangan berusaha meranapkan melalui pakej rangsangan ekonomi sebanyak RM250 bilion (bersamaan dengan anggaran bajet setahun Malaysia), melalui 'pintu belakang' tanpa meminta persetujuan sewajarnya dari Parlimen," katanya.

Dakwanya lagi, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin takut berdepan anggota Parlimen Pakatan Harapan dalam sesi Parlimen yang sah kerana ini mungkin memberi peluang kepada pembangkang menggerakkan usul undi tidak percaya terhadapnya sebagai Perdana Menteri.