Veteran UMNO cadang DAP keluar kerajaan tanpa tunggu kongres khas

SHAH ALAM - Veteran UMNO mencadangkan supaya DAP segera keluar dari barisan kabinet kerajaan tanpa perlu menunggu keputusan sidang kongres khasnya pada Julai depan.
Setiausaha Agungnya, Datuk Mustapha Yaakub berkata, ia susulan desakan DAP sebelum ini yang memutuskan mahu berundur dari kabinet dalam tempoh enam bulan sekiranya kerajaan enggan mengiktiraf sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC).
“Veteran yakin DAP mempunyai prinsip dan bermaruah. Adalah amat memalukan sekiranya DAP tidak menunaikan kata-katanya,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Kongres Khas DAP yang akan berlangsung 12 Julai depan dijangka mengadakan perbincangan berhubung peranan parti dalam kerajaan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Sebelum ini, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke pada Jumaat berkata, parti itu akan mengadakan kongres khas bagi membolehkan perwakilan parti menentukan sama ada pemimpin parti dalam kerajaan harus meletak jawatan atau tidak.
Anthony juga menyifatkan kongres berkenaan sebagai 'referendum' dalaman dengan menekankan bahawa sekiranya perwakilan parti memutuskan untuk menarik diri daripada peranan eksekutif, 40 ahli Parlimen DAP masih akan menyokong kerajaan yang dipimpin Anwar sehingga pilihan raya umum akan datang.
Ujar Mustapha, kepimpinan DAP tidak seharusnya bermain sandiwara dengan ahlinya susulan mengalami kekalahan teruk dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah lalu.
“Kepimpinan DAP mesti membuktikan yang mereka bertanggungjawab atas kekalahan itu dan perlu keluar dari barisan kabinet.
“Ahli DAP tidak mahu pemimpin mereka ugut-ugut dan acah-acah. Mereka mahu tindakan.
“Oleh itu Veteran menyarankan supaya DAP mengambil tindakan segera untuk keluar dari kerajaan tanpa perlu dibawa ke sidang khas Julai nanti,” ujarnya.
Ringkasan AI
- Veteran UMNO mencadangkan DAP keluar dari kabinet kerajaan tanpa menunggu kongres khas pada Julai
- Datuk Mustapha Yaakub berkata desakan keluar timbul kerana isu pengiktirafan sijil UEC
- Veteran yakin DAP akan menunaikan kata-katanya untuk keluar berprinsip dan bermaruah
- Kongres Khas DAP pada 12 Julai akan bincang peranan parti dalam kerajaan Anwar Ibrahim
- Kepimpinan DAP disarankan berhenti bermain politik susulan kekalahan dalam PRN Sabah dan bertanggungjawab
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

