Hibah TH rendah berpunca daripada pasaran saham jatuh selepas PRU14

A
A

KUALA LUMPUR - Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri najib Tun Razak mendakwa kadar hibah Lembaga Tabung Haji (TH) yang lebih rendah berpunca daripada penurunan besar pelaburan institusi kewangan Islam itu dalam pasaran ekuiti selepas Pakatan Harapan memenangi PRU14.

Jelas beliau, kejatuhan ketara pelaburan ekuiti TH itu boleh dilhat menerusi laporan Bloomberg yang menunjukkan nilai pelaburan TH pada permulaan tahun 2018 sebelum PRU-14 berbanding nilai pada awal bulan Disember.

“Melihat perkembangan semalam dan pagi ini, TH akan mengumumkan hibah untuk tahun 2018 tidak lama lagi tetapi kadar hibah dijangka akan sangat rendah.

"Pada tempoh pengumuman hibah ini, kerajaan PH tentu membuat pelbagai cerita untuk menyalahkan kerajaan BN dahulu sebagai alasan kadar hibah rendah.

“Ini sebab utama mengapa hibah rendah untuk tahun 2018. Bukan kerana defisit atau apa-apa penyelewengan,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya hari ini.

Semalam, badan yang ditubuhkan untuk membolehkan umat Islam di negara ini menunaikan haji itu memberi jaminan akan membuat bayaran hibah kepada 9.2 juta pendeposit namun dijangka pada kadar yang rendah.

Jaminan itu dibuat selepas TH berjaya melaksanakan pelan pemulihan dan menstabilkan kedudukan kewangan menerusi pemindahan aset kepada syarikat tujuan khas (SPV) pada 31 Disember lalu.

Dalam pada itu, Najib mempersoalkan kegagalan kerajaan PH yang masih tidak dapat memberi jawapan mengapa TH mengalami defisit RM4.1 bilion apabila aset bernilai RM19.9 bilion ini di bawah nama TH tetapi tidak mengalami sebarang defisit bila aset-aset yang sama ialah di bawah nama SPV.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia