Kontroversi Prof Bruce Gilley: Semak latar belakang sebelum jemput

Laporan Sinar Harian pada Rabu.
Laporan Sinar Harian pada Rabu.
A
A
A

ISU kontroversi kenyataan daripada seorang pensyarah warga Amerika Syarikat (AS), Profesor Bruce Gilley dalam satu program di Universiti Malaya (UM) baru-baru ini menimbulkan kecaman hebat dalam kalangan rakyat Malaysia.

Ia berikutan ahli akademik itu menyebarkan propaganda Zionis dan menuduh ahli politik Malaysia yang menyokong perjuangan Palestin menyebarkan kebencian terhadap Yahudi.

Lebih menyedihkan lagi, Profesor Sains Politik itu dikatakan mendakwa menuduh ahli politik Malaysia menggesa 'Holocaust kedua' terhadap orang Yahudi dan juga menyerang bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Isu berkenaan sudah tentu memberi kesan kepada UM selaku sebuah institusi penyelidikan awam di negara ini, malah turut mendapat kecaman daripada orang ramai.

Bagaimanapun, Universiti Malaya (UM) pada Khamis memohon maaf kepada semua pihak berkaitan kontroversi menjemput profesor tersebut sebagai speaker jemputan ke universiti itu.

Pensyarah warga Amerika Syarikat (AS), Profesor Bruce Gilley dalam satu program di Universiti Malaya (UM) baru-baru ini
Pensyarah warga Amerika Syarikat (AS), Profesor Bruce Gilley dalam satu program di Universiti Malaya (UM) baru-baru ini

Menerusi satu kenyataan, UM berkata, pihaknya telah mengambil tindakan serta-merta membatalkan sebarang program serta aktiviti melibatkan penceramah jemputan warga asing.

Langkah itu dibuat selepas mengambil kira saranan daripada Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) yang mengarahkan supaya UM bertindak sedemikian.

Artikel Berkaitan:

Menterinya, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir turut mengarahkan universiti berkenaan menyiasat perkara itu dan melaporkan segera butiran lanjut.

Isu seperti ini sudah tentu membangkitkan kemarahan orang ramai kerana ahli akademik yang sepatutnya dijemput khas memberi pendedahan pendidikan kepada generasi muda, diberikan pentas serta ruang untuk menyatakan secara terang-terangan kenyataan yang menghina dan tidak menghormati sentimen masyarakat.

Pada Khamis, Angkatan Muda Keadilan (AMK) mendesak UM melakukan siasatan mendalam berkaitan kontroversi menjemput Bruce dalam satu program di universiti itu.

Menurut kenyataan AMK, ada pihak yang perlu mengambil tanggungjawab penuh kerana tidak melaksanakan semakan latar belakang terhadap pendokong genosida itu.

Apa yang boleh dilihat mengenai kontroversi ini, ia menjadi pengajaran kepada mana-mana institusi pendidikan di negara ini supaya melakukan semakan latar belakang secara terperinci dahulu sebelum menjemput ahli akademi sama ada di luar atau dalam negara.

Sudah tentu bukan sahaja, sektor pendidikan, malah semua sektor di negara ini juga perlu menyemak latar belakang jemputan khas tokoh luar negara bagi mengelakkan situasi sama berulang.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!