Imej palsu letupan Pentagon cetus panik pasaran saham AS

Polis dan pegawai bomba di Arlington melaporkan bahawa tiada letupan atau kebakaran berlaku berhampiran Pentagon. - Foto 123RF
Polis dan pegawai bomba di Arlington melaporkan bahawa tiada letupan atau kebakaran berlaku berhampiran Pentagon. - Foto 123RF
A
A
A

NEW YORK - Imej palsu mengenai letupan berhampiran Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat yang tular di media sosial pada Isnin mencetuskan panik di seluruh pasaran saham di AS, lapor Anadolu.

Imej letupan Pentagon telah dikongsi beberapa akaun Twitter dengan tanda semak biru hingga menyebabkan pasaran saham terjejas buat seketika.

Walaupun Dow Jones jatuh kira-kira 80 mata untuk masa yang singkat, S&P 500, yang memulakan hari dengan peningkatan 0.02 peratus, juga jatuh sebanyak 0.15 peratus.

Setakat 10.11 pagi waktu tempatan (1411GMT), indeks kembali positif.

Imej letupan palsu itu juga digunakan oleh media lain termasuk Republic TV, rangkaian televisyen utama India, dan penyiar Rusia RT, yang kemudiannya menarik balik laporan dan memadam kandungan itu di media sosial.

Polis dan pegawai bomba di Arlington melaporkan bahawa tiada letupan atau kebakaran di kawasan itu, manakala pakar menilai bahawa imej itu kemungkinan besar dihasilkan menggunakan teknologi kecerdasan buatan. - Bernama-Anadolu