Pesara, penjawat awam perlu sedar risiko langgar PKP

Adnan Mat
Adnan Mat
A
A
A

SHAH ALAM - Penjawat awam mahupun pesara kerajaan perlu sedar risiko kehilangan kelebihan yang dinikmati mereka sekarang ini sekiranya gagal mematuhi undang-undang ditetapkan kerajaan.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Adnan Mat berkata, beliau mengambil maklum mengenai status penerimaan wang pencen kepada penjawat awam dan pesara yang ingkar kepada arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Justeru, beliau menggesa golongan untuk terus patuh kepada PKP seterusnya menjadi contoh terbaik kepada masyarakat.

"Penjawat awam dan pesara perlu mengetahui bahawa kita semua tidak terkecuali daripada tindakan undang-undang walaupun sedang atau telah berkhidmat untuk negara dan kerajaan.

"Segala keistimewaan yang dinikmati seperti perkhidmatan, bayaran gaji, elaun atau wang persaraan mungkin akan ditarik balik sekiranya didapati bersalah melanggar undang-undang negara," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, sebagai penjawat awam atau yang pernah berkhidmat dengan kerajaan, setiap tindakan yang dilakukan memberi impak kepada arahan dan dasar yang dikeluarkan oleh kerajaan.

"Penjawat awam dan pesara perlu menunjukkan contoh terbaik bagi setiap peraturan dan undang-undang yang dikuatkuasakan seperti PKP ketika ini kerana mereka adalah tulang belakang kepada kerajaan.

Artikel Berkaitan:

"Pematuhan penjawat awam dan pesara secara total terhadap arahan PKP ini sekurang-kurangnya membantu mengawal pergerakan penduduk di negara ini sekiranya mereka sebagai ketua keluarga dapat menjadi mata, telinga dan suara bagi pihak kerajaan menasihati ahli keluarga masing-masing untuk kekal di rumah masing-masing," katanya.

Terdahulu, media melaporkan pesara kerajaan yang didapati bersalah ingkar PKP hingga dihukum penjara walaupun sehari boleh hilang manfaat wang pencen yang diterima setiap bulan.

Peguam, Adnan Seman berkata, mengikut aspek perundangan, seseorang pesara masih layak menerima wang pencen walaupun didakwa di mahkamah atau didenda.

Namun mengikut Seksyen 21 (1) Akta Pencen 1980, seseorang pesara itu boleh hilang kelayakan pencen serta-merta apabila dijatuhkan hukuman mati atau penjara.