MBDK serbu premis alat ganti kenderaan terpakai di Bukit Kapar

KLANG - Premis alat ganti kenderaan terpakai di Jalan Jaya Setia, Kampung Bukit Kapar, di sini, dikenakan tindakan penguatkuasaan dalam operasi bersepadu yang dijalankan Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK).
MBDK dalam kenyataan memaklumkan, hasil pemeriksaan mendapati premis itu sudah ditutup dan tiada individu berada di dalamnya ketika pemeriksaan dijalankan.
Kenyataan itu memaklumkan, Jabatan Perancang Bandar mengeluarkan satu Notis Arahan Pemulihan Tapak dan Memberhentikan Aktiviti di bawah Seksyen 18, Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976.
"Selain itu, satu Notis Arahan Penutupan Premis turut dikeluarkan Jabatan Pelesenan di bawah UUK 3 PTPP (MPK) 2007.
"MBDK akan terus mempergiatkan operasi bersepadu dan pemantauan dari semasa ke semasa bagi memastikan setiap aktiviti perniagaan dijalankan secara teratur," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Operasi itu membabitkan kerjasama Pejabat Tanah Daerah Klang, Jabatan Pelesenan, Jabatan Perancang Bandar dan Jabatan Penguatkuasa MBDK.
Menurut MBDK, operasi itu dijalankan bagi memastikan aktiviti serta penggunaan premis mematuhi undang-undang dan peraturan ditetapkan.
"MBDK berharap peniaga mematuhi syarat yang ditetapkan serta tidak menjejaskan kepentingan awam," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

