Polis lengkapkan siasatan kes kematian anjing ketika operasi MBDK

Lim Jit Huey
Lim Jit Huey
A
A
A

KLANG - Polis sedang melengkapkan kertas siasatan berhubung kes kematian seekor anjing ketika operasi tangkapan anjing liar oleh Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK), Rabu lalu.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Lim Jit Huey berkata, pihaknya telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 428 Kanun Keseksaann.

"Proses siasatan kini sedang giat dijalankan bagi melengkapkan semua bukti serta keterangan berkaitan sebelum kertas siasatan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR).

“Kita memberi jaminan penuh bahawa siasatan akan dijalankan secara adil, telus dan profesional tanpa memihak kepada mana-mana pihak,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Sebelum ini, tular dakwaan seorang individu di media sosial yang mendakwa menyaksikan anjing peliharaannya, Rocky, dipukul hingga mati ketika operasi tangkapan anjing liar.

Individu berkenaan mendakwa Rocky yang dipelihara sejak kecil dan dianggap sebahagian daripada keluarga mereka, telah diikat pada bahagian leher sebelum ditarik dengan kuat sehingga menyebabkan kesukaran bernafas, selain didakwa dipukul menggunakan sebatang besi.

Dalam perkembangan sama, Jit Huey berkata, satu perhimpunan melibatkan sekumpulan orang ramai diadakan di hadapan bangunan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan kira-kira jam 10.15 malam Ahad.

"Hasil pemantauan polis mendapati perhimpunan ‘Justice for Rocky’ itu diadakan bertujuan membuat desakan secara aman berhubung kejadian seekor anjing yang mati semasa operasi tangkapan anjing liar oleh MBDK," katanya.

Dalam pada itu, Jit Huey menasihatkan orang ramai supaya sentiasa mematuhi undang-undang dan tidak berkumpul di premis atau bangunan kerajaan kerana tindakan berkenaan boleh mengganggu kelancaran operasi harian perkhidmatan awam selain menjejaskan aliran lalu lintas.

Artikel Berkaitan:

“Pihak polis menggesa semua pihak agar bertenang dan memberi ruang sepenuhnya kepada proses perundangan yang sedang berjalan.

“Orang ramai juga dinasihatkan supaya tidak membuat atau menyebarkan sebarang spekulasi yang boleh mengganggu kelancaran siasatan,” katanya.

 

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!