1,175 pelajar cipta jualan RM3.12 juta dalam PROTUNe 2026 anjuran PKNS

Mahmud (tiga dari kanan) melancarkan gimik perasmian Konvensyen PROTUNe Negeri Selangor 2026 di Ibu Pejabat PKNS di sini pada Khamis.
Mahmud (tiga dari kanan) melancarkan gimik perasmian Konvensyen PROTUNe Negeri Selangor 2026 di Ibu Pejabat PKNS di sini pada Khamis.
A
A
A

SHAH ALAM - Belum menamatkan persekolahan, namun 1,175 pelajar sekolah menengah di Selangor sudah berpeluang bergelar usahawan apabila berjaya menjana jualan RM3.12 juta menerusi pengurusan 47 syarikat yang ditubuhkan di sekolah masing-masing.

Pencapaian menerusi Program Tunas Niaga (PROTUNe) 2026 anjuran Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) itu direkodkan sepanjang tujuh bulan pelaksanaan bermula 3 Mac hingga 30 September lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PKNS, Datuk Mahmud Abbas berkata, pencapaian itu membuktikan pelajar sekolah berupaya mengaplikasikan pengetahuan keusahawanan dalam menguruskan perniagaan sebenar apabila diberikan peluang dan bimbingan sewajarnya.

"Mereka bukan sekadar belajar teori, sebaliknya perlu meneroka idea baharu dan menterjemahkannya kepada peluang perniagaan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Konvensyen PROTUNe Negeri Selangor 2026 di Ibu Pejabat PKNS di sini pada Khamis.

Program dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor itu menyaksikan setiap syarikat dianggotai 25 pemegang saham termasuk lima ahli lembaga pengarah yang bertanggungjawab menguruskan pentadbiran, kewangan dan pemasaran.

Sejak diperkenalkan pada 2009, program itu merekodkan penyertaan 33,125 pelajar dan 2,630 guru pembimbing, selain menyaksikan penubuhan 1,249 syarikat.

Konvensyen itu turut menyaksikan penyampaian 11 kategori anugerah bagi mengiktiraf kecemerlangan peserta dalam aspek pengurusan syarikat, kepimpinan, pembangunan produk dan prestasi perniagaan.

Antara anugerah disampaikan termasuk Syarikat Terbaik, Ketua Pegawai Eksekutif Terbaik, Produk Terbaik dan Sekolah Terbaik 2026.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Mahmud menjelaskan, menerusi bimbingan guru, peserta turut mengikuti latihan keusahawanan secara teori dan praktikal membabitkan pengurusan operasi, pembangunan produk, perancangan pemasaran serta aktiviti jualan di sekolah dan Karnival Usahawan PKNS (KUP).

"Apa lebih membanggakan, peserta bukan sahaja memasarkan produk sedia ada, malah pembangunan produk turut diberi penekanan supaya hasil ciptaan mereka mempunyai nilai komersial dan berpotensi dipasarkan kepada pengguna," jelas beliau.

Mahmud berkata, PKNS akan terus menjadikan PROTUNe sebagai platform pembangunan generasi muda bagi mengembangkan potensi diri serta membina asas kukuh dalam bidang keusahawanan.

Sementara itu, Guru Pembimbing PROTUNe Sekolah Menengah Kebangsaa (SMK) Rantau Panjang, Klang, Azrina Sazali berkata, konsistensi, disiplin dan komitmen tinggi guru serta pelajar menjadi resipi kejayaan apabila dinobatkan sebagai Sekolah Terbaik PROTUNe Negeri Selangor buat tahun kedua berturut-turut.

Beliau menjelaskan, kejayaan itu menyaksikan sekolah itu terus mengekalkan kecemerlangan sejak mula menyertai program anjuran PKNS itu pada 2024.

Beliau berkata, pencapaian itu hasil komitmen berterusan pasukan guru pembimbing dan Ahli Pengurusan Syarikat (APS) yang sanggup meluangkan masa serta tenaga bagi memastikan setiap tugasan diselesaikan mengikut perancangan.

"Program ini sebenarnya banyak menuntut pengorbanan dan komitmen. Tahun ini, pasukan guru pembimbing dan APS menunjukkan semangat tinggi serta tidak hanya bergantung kepada perjumpaan yang ditetapkan.

"Kadang-kadang kita tetapkan tiga kali perjumpaan untuk sesuatu tugasan, tetapi mereka buat lebih daripada itu atas usaha sendiri, malah ada yang sanggup menyiapkan laporan sehingga tengah malam," ujar beliau.

Ujar beliau, sokongan warga sekolah termasuk guru dan pelajar yang membeli produk jualan turut membantu memastikan aktiviti perniagaan syarikat berkenaan berjalan lancar.

Menurutnya, antara produk yang diketengahkan tahun ini ialah beg dikenali sebagai 'Deko Bag' yang dihasilkan menerusi teknik hiasan menggunakan tisu bercorak atau deko patch.

Katanya, proses menghasilkan beg itu memerlukan kemahiran khusus termasuk teknik menampal, memotong corak dan melakukan proses kemasan bagi memastikan produk mempunyai kualiti serta nilai komersial.

"Bagi menghasilkan produk ini, kita menghantar seorang pelajar mengikuti kursus bersama usahawan deko patch sebelum kemahiran itu digunakan untuk menghasilkan 21 beg bagi pertandingan tahun ini," katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, sebahagian besar pendapatan syarikat pelajar itu sebenarnya disumbangkan menerusi aktiviti peruncitan yang menyumbang kira-kira 95 peratus daripada keseluruhan pendapatan.

Jelasnya, pelajar mengendalikan kiosk di sekolah dengan menjual barangan seperti air mineral, keropok dan aiskrim pada waktu rehat bagi memastikan aktiviti perniagaan tidak mengganggu pembelajaran.

"PROTUNe turut memberi pendedahan pengalaman sebenar kepada pelajar untuk menguruskan perniagaan termasuk mengendalikan wang, membuat pengiraan kewangan dan berurusan dengan pelanggan," tambah beliau.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!