Kematian Rocky cerminan sistem tidak berperikemanusiaan - Lee Lam Thye

SHAH ALAM — Kematian tragis seekor anjing bernama Rocky di Pelabuhan Klang disifatkan sebagai gambaran kegagalan sistem yang tidak berperikemanusiaan dalam menangani isu kebajikan haiwan.
Aktivis kebajikan haiwan, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, laporan mengenai pengendalian Rocky yang didakwa dilakukan secara agresif sehingga membawa kepada kematiannya di hadapan orang awam yang trauma, telah menimbulkan kesedihan dan kemarahan mendalam.
Beliau berkata, kejadian itu menimbulkan persoalan berapa banyak lagi insiden kekejaman terhadap haiwan perlu berlaku sebelum pihak berkuasa mengambil tindakan sewajarnya.
“Bagaimana sesiapa boleh mewajarkan perkara ini? Bagaimana kita boleh berdiam diri sementara makhluk hidup yang bernafas, ahli keluarga kita dan persekitaran kita bersama, tertakluk kepada keganasan yang menyayat hati atas nama ‘operasi rutin’?” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Menurutnya, kes Rocky bukan sekadar kesilapan operasi kecil, sebaliknya mencerminkan kelemahan sistem yang berpunca daripada kekurangan empati, tadbir urus dan keberanian moral.
“Kita menyalahkan protokol, birokrasi dan bersembunyi di sebalik kelemahan pentadbiran, serta menuding jari ke setiap arah kecuali di tempat yang sepatutnya dipersalahkan iaitu kekurangan empati, tadbir urus dan keberanian moral kita sendiri,” katanya.
Lam Thye berkata, apabila tindakan penguatkuasaan berubah menjadi adegan keganasan dan kematian, tiada justifikasi teknikal atau masalah birokrasi yang boleh membersihkan hati nurani masyarakat.
Beliau menegaskan, prosedur operasi standard (SOP) diwujudkan untuk memastikan ketenteraman serta melindungi kebajikan, manakala belas kasihan bukan pilihan tetapi asas kepada sebuah negara bertamadun.
“Setiap kali kita mengabaikan seruan keadilan ini, kita merosakkan kemanusiaan kita sendiri,” katanya.
Beliau berkata, kes Rocky tidak seharusnya hanya diratapi, sebaliknya perlu disusuli dengan perubahan konkrit bagi memastikan kejadian sama tidak berulang.
Antara langkah yang dicadangkan ialah penerapan dan pelaksanaan kaedah TNVR (Trap-Neuter-Vaksin-Pelepasan/Pengembalian) di seluruh negara bagi menggantikan kaedah 'tangkap dan bunuh' yang disifatkan usang dan tidak berkesan.
Katanya, majlis perbandaran di seluruh Malaysia perlu mewajibkan dasar TNVR serta bekerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kebajikan haiwan yang diiktiraf dan rangkaian veterinar tempatan untuk menguruskan populasi haiwan terbiar secara berperikemanusiaan.
Selain itu, beliau menggesa penyeragaman teknik tangkapan berperikemanusiaan dengan melarang penggunaan jerat dawai, gelung mencekik dan peralatan pengekangan fizikal yang ganas.
“Kakitangan penguat kuasa dan kontraktor pihak ketiga mesti menjalani latihan mandatori yang diperakui dalam pengendalian haiwan tanpa kekerasan di bawah pengawasan ketat Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS),” katanya.
Lam Thye turut mencadangkan larangan ketat terhadap penyitaan haiwan di kawasan persendirian tanpa notis undang-undang bertulis serta perundingan bersama pemilik, selain penubuhan jawatankuasa penyeliaan dan pelaporan bebas di setiap majlis tempatan.
Katanya, jawatankuasa berkenaan perlu terdiri daripada penyokong kebajikan haiwan, profesional veterinar dan wakil undang-undang bagi menyemak aduan awam, menyiasat salah laku operasi serta memastikan pematuhan di bawah Akta Kebajikan Haiwan 2015.
Beliau turut menyeru Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) dan Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) menjalankan siasatan segera, telus dan menyeluruh terhadap kematian Rocky.
“Orang ramai berhak mendapat jawapan, dan Rocky berhak mendapat keadilan.
“Akauntabiliti mesti pantas dan mutlak. Mereka yang bertanggungjawab melanggar undang-undang kebajikan haiwan atau gagal dalam tugas penjagaan asas mereka mesti menghadapi sepenuhnya tindakan undang-undang,” katanya.
Lam Thye berkata, selagi masyarakat belum mampu menegakkan empati sepenuhnya, akauntabiliti institusi yang teguh dan rasa hormat terhadap kehidupan, kegagalan bukan sahaja berlaku pada sistem tetapi juga sebagai manusia.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

