JPV Selangor jamin siasatan menyeluruh, adil kejadian kematian anjing

Laporan Sinar Harian berhubung polis siasat kematian anjing ketika operasi tangkapan haiwan liar
Laporan Sinar Harian berhubung polis siasat kematian anjing ketika operasi tangkapan haiwan liar
A
A
A

SHAH ALAM - Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Selangor memberikan jaminan bahawa siasatan berhubung kejadian kematian seekor anjing ketika operasi tangkapan haiwan liar itu di Taman Teluk Gedung Indah, Pelabuhan Klang akan dijalankan secara menyeluruh, adil dan tidak akan memprejudiskan mana-mana pihak.

JPV Selangor dalam kenyataan hari ini memaklumkan pihaknya menerima beberapa aduan menerusi sistem MyAnimalWelfare kira-kira 9.25 malam pada 30 Julai lepas berhubung rakaman video tular yang memaparkan sekumpulan individu mengikat dan menarik leher seekor anjing, manakala seorang wanita dilihat merayu supaya haiwan itu dilepaskan.

"Hasil siasatan awal JPV Selangor mendapati kejadian tersebut berlaku pada 29 Julai 2026, lebih kurang pukul 10.50 malam di sekitar Taman Teluk Gedung Indah, Pelabuhan Klang semasa operasi gotong-royong tangkapan anjing liar oleh pihak Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) dengan kerjasama penduduk taman perumahan.

"Operasi tangkapan anjing liar oleh MBDK merupakan tindakan awal pihak berkuasa tempatan (PBT) dalam mengawal populasi anjing liar yang banyak demi menjamin kesejahteraan rakyat," menurut kenyataan itu.

Menjelas lanjut, JPV Selangor memaklumkan kira-kira 11 pagi pada 31 Julai, Pasukan Kebajikan Haiwan (PKH) menerima serahan bangkai seekor karkas anjing jantan yang dipercayai haiwan dalam rakaman video berkenaan daripada seorang wanita berserta satu tong ais berwarna oren.

Susulan itu, Pasukan Kebajikan Haiwan JPV Selangor membuat laporan polis bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.

"Pasukan penyiasat telah memanggil suspek dan saksi-saksi pada 1 Ogos 2026 bagi merakam percakapan berkaitan kes tersebut di bawah seksyen 112 Kanun Tatacara Jenayah [Akta 593].

"Kes disiasat di bawah subseksyen 29(1)(e) Akta Kebajikan Haiwan 2015 [Akta 772] yang memperuntukkan denda tidak kurang daripada RM20,000 dan tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya,” menurut kenyataan itu.

Semalam, Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin menzahirkan rasa dukacita, kecewa dan marah terhadap insiden kekejaman terhadap haiwan peliharaan serta terbiar, khususnya anjing dan kucing yang masih berlaku dan tular baru-baru ini.

Artikel Berkaitan:

Istana Alam Shah memaklumkan Tengku Permaisuri Norashikin turut menyeru Kerajaan Persekutuan supaya mengkaji semula hukuman di bawah Akta Kebajikan Haiwan 2015, agar hukuman terhadap pesalah kekejaman haiwan diperketat dan dikuatkuasakan dengan lebih konsisten. - Bernama

 

 

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!