Ramai sangat Joyah di alam maya!

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

SETAKAT semalam pihak berkuasa – polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) – telah membuka lebih 200 kertas siasatan atas kesalahan penyebaran berita palsu.

Seperti yang dilaporkan media jumlah tersebut adalah siasatan mengenai berita tidak benar yang berjaya dikesan sejak bermulanya perintah kawalan pergerakan lebih kurang dua bulan lalu.

Perangkaan polis menunjukkan purata 10 berita palsu disebarkan di alam maya setiap hari di tempat kita. Sebenarnya berita auta telah menjadi sebahagian menu media sosial sejak sekian lama.

Entah apa sebabnya orang kita memang suka menyebarkan berita palsu. Mungkin ada baiknya sekolah komunikasi di universiti-universiti kita membuat kajian mengenai orang kita suka berita palsu.

Pada hemat saya ada beberapa faktor kecenderungan ini terjadi.

Pertama, sesetengah orang ingin menjadi wartawan tetapi tidak ada organisasi media sudi mengambil bekerja, maka jadilah mereka wartawan tidak bergaji dengan mencipta dan menyebarkan berita palsu.

Tambahan pula dengan kecanggihan teknologi ICT, termasuk dengan hanya menggunakan telefon bimbit, semua orang kini boleh menjadi wartawan. Tidak payah lesen, boleh tulis apa sahaja.

Kedua, sesetengah orang syok sendiri sekiranya mendapat berita baru dan lebih syok jika menjadi orang pertama menyebarkan berita tersebut, kira hebat sakan.

Artikel Berkaitan:

Maka tanpa mengambil kira sama ada berita itu benar atau palsu mereka dengan bangganya ingin segera berkongsi berita itu dengan rakan siber yang lain. Mereka rasa telah menang sebagai wartawan pertama mendapat berita hebat itu.

Ketiga, sesetengah orang tidak ada kerja, atau malas kerja. Oleh kerana masa banyak terluang mereka boleh bersantai gila-gila melayari media sosial dan membaca segala sampah sarap di internet menerusi gajet.

Sementelahan pula sesetengah orang kita memang suka mengumpat dan membawang. Benda kecil boleh ditokok tambah menjadi isu besar sehingga boleh memporak-perandakan keadaan.

Kumpulan pembawang dan Joyah siber ini rasa gembira tidak keruan sekiranya apa yang disebarkan di media sosial itu mendapat banyak respons. Dulu, kini dan selamanya Joyah memang macam itu!

Akhir-akhir ini penyebaran berita palsu menjadi satu kegilaan. Agaknya sebab semakin ramai orang tidak ada kerja dan banyak masa untuk menyebarkan fitnah dan sampah siber.

Kalau mengikut rekod polis pereka dan penyebar berita palsu ini bukan sahaja macai politik dan kutu brahak, malahan golongan profesional pun turut menyebarkan kepalsuan.

Hatta seperti yang dilaporkan media baru-baru ini, seorang ahli Parlimen pun turut menjadi penyebar berita palsu dan kertas siasatan mengenainya telah dibuka.

Bayangkan sekiranya ahli Yang Berhormat pun terbawa-bawa dan terikut-ikut menjoyahkan diri, tahap penyebaran berita palsu kita memang parah. Tambahan pula orang kita lebih mempercayai yang auta daripada fakta.

Apa pun berita palsu bukan wujud di zaman ICT sahaja. Lama sebelum ada kecanggihan siber orang sudah gatal tangan dan kotor minda mereka dan menyebarkan berita palsu atau ketika itu dipanggil juga khabar angin.

Maka teringat saya ketika mula-mula menjadi orang surat khabar di Jalan Chan Sow Lin kira-kira 40 tahun lalu, teruja sangat apabila mendapat berita palsu menerusi apa yang disebut surat layang.

Satu pagi saya mendapat surat layang mengenai skandal seorang tokoh politik. Sebagai pemberita baru saya mahu isi surat tersebut dijadikan berita, boleh pakai muka depan dengan tajuk besar.

Tetapi pengarang berita waktu itu, Zam (Tan Sri Zainuddin Maidin, arwah) memanggil saya dan memberitahu betapa bahayanya menyiarkan berita berdasarkan surat layang yang sumbernya tidak dapat dipastikan, kita boleh kena saman.

“Kena ada etika, tidak boleh siar bahan daripada surat layang, sebab itu fitnah,” kata Zam. Itu memang pengajaran untuk wartawan baru seperti saya.

Untuk menyebarkan berita palsu ketika itu bukan kerja mudah. Mula-mula surat layang yang kita dapat itu kena di-xerox beberapa salinan. Yang saya terima pun entah sudah berapa kali di-xerox, hendak baca pun susah.

Salinan surat itu disebarkan melalui pos – kena setem 15 sen, kena beratur di pejabat pos. Seminggu belum tentu boleh sampai kepada penerimanya.

Kini berita palsu yang kita reka atau terima di media sosial boleh disalin beberapa minit, sekelip mata boleh disebarkan di maya, serentak kepada beribu orang.

Itulah sebabnya kerja pembawang @ Joyah lebih mudah sekarang. Dan, itulah sebabnya mereka perlu diambil tindakan tegas dan dihukum. Jangan bertolak ansur lagi!