Batuk kokol di Rompin terkawal, henti tular berita palsu - JKNP

Nor Azimi
Nor Azimi
A
A
A

KUANTAN - Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP) mengesahkan wabak pertussis atau batuk kokol yang berlaku di Rompin adalah terkawal dan tiada kes baharu dikesan ketika ini.

Pengarahnya, Datuk Dr Nor Azimi Yunus berkata, penularan maklumat di laman sosial berhubung wabak itu disifatkan tidak memberi gambaran tentang situasi sebenar, sebaliknya cuba menakutkan masyarakat dengan maklumat tidak tepat.

"Saya meminta semua netizen supaya tidak memberikan kenyataan yang menimbulkan kecelaruan seperti 'berlaku wabak yang besar di Rompin', 'jangan datang ke Rompin', 'jangan datang ke Pekan dan Pahang'.

"Saya rasa kenyataan itu ditokok-tambah dan ia tidak sepatutnya berlaku kerana wabak itu (batuk Kokol) di Rompin adalah terkawal dan selamat dikunjungi. Malahan kita juga tidak mengesan kes baharu dan sehingga hari ini," katanya.

Sebelum ini, tular di media sosial yang mendakwa penyakit tersebut menjadi ancaman yang lebih teruk selepas wabak Covid-19 dan orang ramai dinasihatkan agar tidak datang ke daerah Rompin bagi mengelak dijangkiti penyakit berkenaan.

Kenyataan berbaur negatif dikongsi netizen selepas satu notis makluman pengisytiharan wabak pertussis yang dikeluarkan Pejabat Kesihatan Daerah Kuala Rompin bertarikh 14 Ogos lalu.

Nor Azimi memaklumkan kes pertussis di Rompin itu berlaku kepada tiga individu dalam satu keluarga di Kampung Bahagia Rompin.

Jelasnya, menjadi amalan pihak kesihatan melabelkan sebagai wabak sekiranya terdapat dua atau lebih kes sama dalam satu lokaliti dan sebagainya kes lain seperti denggi.

Artikel Berkaitan:

Tambah Nor Azimi, selepas tiga individu disahkan dijangkiti penyakit terbabit, pihaknya telah membuat pemeriksaan tapisan melibatkan lebih 370 individu, namun tiada kes baharu dikesan.

"Kita memeriksa lebih 50 peratus penduduk di kampung berdekatan tapi tiada kes baharu yang kita dapati.

"Selain itu, sebagai langkah pencegahan, kita mengesan 37 orang kontak rapat (pesakit) dan telah diberikan antibiotik profilaksis," katanya

Menurut Nor Azimi, rantaian sesuatu wabak boleh dikatakan putus sepenuhnya jika tiada kes baharu berlaku dalam tempoh dua minggu daripada kes terakhir dikesan.

"Andai kata tidak ada kes terbaharu yang kita kesan 14 hari selepas kes yang terakhir, jadi kita jangkakan wabak pertussis di Kampung Bahagia ini akan tamat pada 29 Ogos ini," ujarnya beliau