KPT nasihat pelajar di luar negara kekal di tempat masing-masing

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) menasihatkan pelajar Malaysia di luar negara agar kekal di negara mereka berada ketika ini dan sentiasa menurut arahan universiti dan pihak berkuasa tempatan ketika dunia sedang berperang dengan wabak koronavirus (Covid-19).

KPT dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini berkata, pelajar-pelajar terbabit disaran agar bertenang, tidak panik dan menjaga kebersihan serta kesihatan diri.

"KPT juga ingin menarik perhatian bahawa walaupun ketetapan pada masa ini adalah untuk tidak membenarkan pelajar-pelajar pulang, namun sekiranya terdapat pelajar yang masih ingin pulang ke Malaysia, KPT ingin memaklumkan bahawa urusan tersebut adalah di bawah tanggungan dan tanggungjawab para pelajar sendiri atau keluarga masing-masing.

"Dalam konteks yang sama, mereka harus memaklumkan kepada wakil-wakil Education Malaysia dan kedutaan di negara pengajian mereka.

"Dalam hal ini, semua pelajar yang tiba di tanah air adalah tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh MKN, KKM dan Nadma seperti menjalani saringan kesihatan di pintu masuk antarabangsa negara dan kuarantin selama 14 hari di pusat-pusat kuarantin yang telah ditetapkan serta mematuhi arahan selanjutnya yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan (KKM)," kata kenyataan itu.

Selain itu, KPT turut menjelaskan pihak Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) menerusi satu kenyataan pada 29 Mac 2020 telah memaklumkan bahawa kesemua pelajar tajaan JPA di luar negara dinasihatkan untuk kekal berada di negara pengajian masing-masing.

"Begitu juga dengan Majlis Amanah Rakyat (Mara) menerusi satu kenyataan pada 28 Mac 2020, telah memaklumkan bagi negara-negara yang tidak menyarankan pelajar asing untuk pulang ke negara masing-masing, mereka meminta supaya pelajar mereka terus kekal di negara pengajian.

"Pertimbangan ini dibuat selepas menilai risiko semasa pergerakan dan penerbangan serta menilai isu-isu logistik berkaitan secara mendalam," kata kenyataan itu.

Artikel Berkaitan: