X

Kindly register in order to view this article
!

Kaji semula nilai bantuan subsidi pekerja kepada majikan

Dari kiri: Moderator, Azlan Shah Nabees Khan; Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF), Datuk Shamsuddin Bardan dan Timbalan Pengarah Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER), Profesor Dr Jamal Othman dalam Wacana Siri 162 bertajuk Ekonomi Malaysia selepas 14 April yang disiarkan secara langsung di Facebook Sinar Harian malam tadi.
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan disaran menilai kembali bantuan subsidi pekerja yang diberikan kepada majikan negara ini dengan mencontohi inisiatif diambil negara maju seperti Singapura.

Timbalan Pengarah Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER), Profesor Dr Jamal Othman berkata, pemberian nilai subsidi gaji pekerja sebanyak RM600 oleh kerajaan adalah keputusan baik, namun ianya mungkin tidak mencukupi bagi membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Menurutnya, kerajaan boleh melihat pendekatan digunakan Singapura yang memberi subsidi dan bayaran gaji pekerja sekurang-kurangnya 70 peratus daripada nilai keseluruhan gaji.

"Pakej rangsangan ekonomi diumumkan Perdana Menteri tempoh hari memang sebahagian besar ditumpukan untuk membantu PKS, tetapi kerajaan kena lihat bagaimana pakej itu boleh membantu rangsangan secara terus kepada mereka.

"Di Malaysia, nilai subsidi gaji pekerja yang dinyatakan RM600 sebulan perlu dinilai kembali dengan menjadikan negara Singapura sebagai contoh," katanya.

Beliau berkata demikian selaku panelis Wacana Siri 162 bertajuk Ekonomi Malaysia selepas 14 April yang disiarkan secara langsung di Facebook Sinar Harian malam ini.

Wacana tersebut turut dibarisi panelis, Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF), Datuk Shamsuddin Bardan dengan Azlan Shah Nabees Khan sebagai moderator.

Jamal berkata, kerajaan juga perlu melihat aspek lain yang lebih wajar disalurkan bagi membantu syarikat PKS seperti pengecualian kadar faedah pinjaman sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan pengurangan kadar bayaran Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).

Selain itu, Jamal turut mencadangkan kerajaan mengalihkan peruntukan pembayaran dana bantuan kepada golongan M40 yang terjamin pekerjaan sepanjang tempoh PKP untuk disalurkan kembali kepada PKS yang terjejas teruk.

"Inisiatif mengalihkan pembayaran peruntukan kepada golongan M40 terjamin pekerjaan, sebaliknya disalurkan kepada syarikat PKS terjejas teruk sekurang-kurangnya memastikan mereka dapat terus beroperasi dan sekaligus menjaminkan status pekerjaan pekerja masing-masing," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus