Kaji semula struktur Liga-M

Aksi antara Terengganu FC (TFC) dan Kuala Lumpur Rovers FC dalam saingan Piala Malaysia di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak baru-baru ini.- Foto Bernama (Gambar kecil:Safee Sali)
Aksi antara Terengganu FC (TFC) dan Kuala Lumpur Rovers FC dalam saingan Piala Malaysia di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak baru-baru ini.- Foto Bernama (Gambar kecil:Safee Sali)
A
A
A

BEKAS penyerang kebangsaan, Safee Sali berharap badan pengelola Liga Malaysia (Liga-M), Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) dapat menilai kembali struktur liga di negara ini.

Ia selepas jurang cukup besar dapat dilihat oleh pasukan-pasukan yang beraksi dalam saingan Liga Super dan Liga M3 ketika bertembung sama ada bagi aksi Piala FA atau Piala Malaysia.

Menurutnya, ketiadaan Liga Premier memberikan kesan besar kepada saingan dalam kedua-dua kejohanan tersebut apabila pasukan Liga M3 dilihat bukan saingan sebenar kelab handalan Liga Super.

“Saya rasa struktur liga itu perlu diperhalusi, Liga Super dan Liga M3 terlalu jauh. Liga M3 tak ada pemain import, manakala Liga Super ada sembilan pemain import.

“Amat ketara (jurang kualiti pasukan Liga Super dan Liga M3). Macam tahun lepas, kita ada Liga Premier, jadi rentak permainan itu tak adalah beza sangat,” katanya dalam sebuah rancangan disiarkan Astro Arena.

Mulai musim ini, MFL telah menstrukturkan Liga-M apabila memansuhkan saingan Liga Premier dengan liga divisyen dua yang berada di bawah Liga Super ialah Liga M3.

Ia sekali gus menyaksikan pasukan Liga Premier tahun lalu beraksi dalam saingan Liga Super, manakala pasukan Liga M3 menyertai pusingan awal saingan Piala Malaysia dan Piala FA.

Aksi pusingan 16 saingan Piala Malaysia menyaksikan Harini Selangor FT dan Kuala Lumpur Rovers FC menjadi wakil daripada pasukan Liga M3.

Artikel Berkaitan:

Untuk saingan Piala FA pula menyaksikan beberapa pasukan Liga M3 bersaing seperti Imigresen FC, Kuala Kangsar BRM FC, Manjung City FC dan PIB Shah Alam FC.

Namun, kesemua pasukan berkenaan gagal melangkah lebih jauh apabila tumbang kepada lawan masing-masing daripada saingan Liga Super.