CAP sokong saranan PM kaji semula projek PSI
GEORGETOWN - Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menyokong jaminan Perdana Menteri untuk mengkaji semula projek mega Projek Pulau Selatan Pulau Pinang (PSI) yang mendapat banyak kritikan daripada badan bukan kerajaan (NGO) sebelum ini.
Presidennya, Mohideen Abdul Kader berkata, mesej yang disampaikan Perdana Menteri itu menunjukkan projek mega itu cacat dalam perancangan dan reka bentuknya selain menimbulkan persoalan serius mengenai kecekapan kerajaan negeri untuk merangka program pembangunan yang lebih berkesan bagi rakyat Pulau Pinang.
Menurutnya, dalam surat yang dihantar kepada Perdana Menteri pada Jumaat, CAP telah menyatakan sebab kenapa projek itu tidak diperlukan.
"Pada mulanya, kerajaan negeri mewajarkan projek penambakan mega itu sebagai amat diperlukan untuk mengumpul dana daripada penjualan tanah tebus guna bagi melaksanakan Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP).
"Bagaimanapun, kerajaan Persekutuan kini bersetuju untuk menyediakan dana bagi LRT Pulau Pinang. Jadi, kenapa perlu meneruskan penambakan ini?," katanya menerusi kenyataan di sini, pada Ahad.
Mohaideen berkata, dalam berdepan dengan kritikan yang kuat terhadap projek penambakan itu, kerajaan negeri mengemukakan hujah bahawa Pulau Pinang memerlukan lebih banyak tanah untuk pembangunan dan mewujudkan pekerjaan.
Bagaimanapun, tegasnya dakwaan ini tidak berasas dan bercanggah dengan realiti di lapangan.
Jelasnya, di Batu Kawan, lebih 3,000 ekar tanah yang murah tersedia bagi pertumbuhan ekonomi.
"Ia mempunyai semua kemudahan dan sangat dekat serta bersambung dengan baik ke pelabuhan Butterworth dan Lapangan Terbang Bayan Lepas.
"Melabur di sana akan menyumbang kepada merapatkan lagi pembangunan ekonomi dan sosial yang tidak sekata antara tanah besar dan pulau itu," katanya lagi.
Beliau berkata, Ketua Menteri sebelum ini sendiri mengakui bahawa 12,000 hektar tanah tersedia bagi pembangunan di Pulau Pinang dengan sekitar 500 hektar di pulau itu sendiri.
Selain itu, katanya, beberapa kawasan perindustrian di Pulau Pinang kurang digunakan.
"Oleh sebab itu, apakah rasionalnya cadangan penambakan tanah itu? Episod ini dengan jelas menunjukkan kekurangan dalam model pembangunan kerajaan Negeri Pulau Pinang yang sudah lapuk.
"Model yang sangat didorong oleh hartanah yang menjejaskan pembangunan sosial dan membina keupayaan ekonomi sebenar Pulau Pinang,"katanya.
Dalam pada itu, Mohaideen berkata, LRT yang dicadangkan adalah satu lagi contoh inisiatif pembangunan yang tidak mampan.
Katanya, CAP telah menyuarakan kebimbangan mengenai logik bagi membina LRT dan bukannya mengejar penyelesaian bandar lain yang lebih murah, kurang mengganggu dan lebih moden.
Tambah beliau, daripada menyelesaikan masalah kesesakan lalu lintas Pulau Pinang, LRT akan merosakkan struktur bandarnya dan mewujudkan masalah baharu yang lebih kompleks bagi rakyat Pulau Pinang.
"Kami menggesa Kementerian Pengangkutan supaya melantik pakar lalu lintas yang boleh dipercayai untuk mengkaji pelan asal Halcrow dan mengubahsuainya dengan mengambil kira perkembangan terkini dalam teknologi pengangkutan dan penyelesaian bandar.
"Kami menggesa agar kerajaan negeri Pulau Pinang mengadakan satu persidangan bagi menilai semula model pembangunannya secara kritis dan membentuk agenda pembangunan baharu yang lebih bermakna yang akan meletakkan Pulau Pinang sebagai model ekonomi baharu Malaysia dan menjadi contoh bagi pembangunan mampan,"katanya.