Perlu sokong usaha kerajaan untuk manfaat rakyat, negara

Muhammad Kamil. Foto Sinar Harian-MOHD HALIM ABDUL WAHID
Muhammad Kamil. Foto Sinar Harian-MOHD HALIM ABDUL WAHID
A
A
A

SHAH ALAM - Sikap pihak tertentu yang seringkali tidak bersetuju dengan usaha dan dasar diperkenalkan oleh kerajaan perlu diubah supaya dapat bersama-sama memulihkan dan membangunkan negara ke arah lebih baik.

Timbalan Ketua Angkatan Muda Keadilan, Muhammad Kamil Abdul Munim berkata, segelintir pihak lebih cenderung untuk mengecam apa sahaja perkara diperkenalkan kerajaan walaupun ia mampu mengurangkan masalah rakyat dan memberi manfaat kepada negara.

“Sebagai contoh, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebut mahu membasmi kemiskinan dalam masa singkat, (kita) cari jalan sedaya-upaya untuk kurangkan masalah kemiskinan tegar ini.

“Ia sepatutnya disokong dan disambut baik oleh semua pihak tidak kira berlatar belakang politik atau sebagainya, tetapi maklum balas masing-masing tiada yang positif.

“Jika mereka bersetuju, seolah-olah ia memberi sokongan kepada Anwar.

"Kita mencari hujah dan alasan untuk menafikan pendekatan ini yang mampu mengubah keadaan ekonomi semasa,” katanya semasa Wacana Sinar edisi 437 bertajuk ‘25 tahun PKR: Reformasi vs persepsi’ pada Selasa.

Program tersebut dihoskan oleh Ismail Adnan turut menampilkan dua lagi panelis iaitu Pengerusi Biro Pekerja Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid dan Pensyarah Kanan Fakulti Teknologi dan Informatik UTM, Dr Mazlan Ali yang disiarkan secara langsung di semua platform media sosial Sinar Harian.

Muhammad Kamil turut memaklumkan, Anwar sendiri membuktikan beliau menunjukkan sikap demokratik dengan mengambil pendekatan dalam Sesi Soal Jawab Perdana Menteri (PMQ) di Dewan Rakyat.

Artikel Berkaitan:

Ujarnya, ia tidak pernah dilakukan oleh mana-mana Perdana Menteri sebelum ini supaya melibatkan diri dengan ahli Parlimen.

“Apakah ini bukan satu bentuk perubahan?

"Saya tahu kita perlu melakukan perubahan struktur, tetapi kita harus melaksanakan ini dengan kebijaksanaan bukan hanya membabi buta.

“Kita perlu menjaga ekosistem ini dengan baik supaya kerajaan lebih stabil, kukuh dan dalam masa sama menerjemahkan idea-idea reformasi dalam bentuk dasar yang lebih dekat dengan rakyat,” jelasnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!