MoFast cadang KPM kaji semula arahan tangguh aktiviti luar

MoFast meminta KPM mengkaji semula arahan penangguhan aktiviti luar pelajar semasa cuaca panas. - Gambar hiasan
MoFast meminta KPM mengkaji semula arahan penangguhan aktiviti luar pelajar semasa cuaca panas. - Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Pertubuhan Motivator Fasilitator Malaysia (MoFast) meminta Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengkaji semula arahan penangguhan aktiviti luar pelajar semasa cuaca panas.

Pengerusinya, Amirulhaqim Mat Sudi berkata, MoFast mewakili perunding latihan, motivasi dan pelaksana kursus latihan luar serta lawatan luar yang terlibat dengan sekolah memaklumkan pihak terbabit terjejas teruk dengan keputusan berkenaan.

Menurutnya, keputusan itu menyebabkan pihak pentadbir sekolah tidak mahu meneruskan program yang telah dirancang dan dipersetujui sebelum ini kerana bimbang risiko yang bakal diterima oleh pengurusan atasan.

“Ianya berkaitan Prosedur Operasi Standard (SOP) selamat yang dikeluarkan oleh KPM dalam perkara 4 dan 5 yang terkandung dalam Resolusi Sesi Libat Urus Penangguhan Aktiviti Luar Semasa Cuaca Panas pada 3 Mei 2023,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

AmirulHaqim berkata, MoFast memohon sokongan dan keprihatinan KPM untuk melihat semula arahan tersebut secara realiti di lapangan sebenar di peringkat sekolah yang menjejaskan kumpulan terbabit.

“Seperti semua sedia maklum, fasiliti antara sekolah berbeza. Meskipun ada dewan tertutup tetapi keadaan dewan yang panas, walhal ada dewan terbuka tetapi cukup kipas angin dan tempatnya yang kondusif termasuk juga seperti bilik-bilik khas di sekolah.

“Begitu juga, banyak kem-kem luar juga menyediakan dewan berhawa dingin,” jelasnya.

Ujarnya, MoFast mencadangkan agar kuasa menentukan keselamatan melaksanakan aktiviti diberi kepada pihak pentadbir sekolah secara mutlak dengan berpandukan fasiliti sekolah atau logistik perlaksanaan dengan mengikut SOP yang ditetapkan oleh KPM.

“MoFast juga berbesar hati untuk diberi ruang berbincang bersama pihak KPM di mana pelbagai isu lain selain perkara ini menjadi kekangan sejak Covid-19 melanda dunia, dalam usaha bersama KPM menjayakan revolusi kemenjadian murid di sekolah,” katanya.