Konflik Iran-Israel: Rakyat Malaysia perlu fahami isu di sebalik tabir

Azmi Hassan. FOTO: SINAR HARIAN/MOHD HALIM ABDUL WAHID
Azmi Hassan. FOTO: SINAR HARIAN/MOHD HALIM ABDUL WAHID
A
A
A

SHAH ALAM - Rakyat Malaysia perlu cuba memahami situasi politik antarabangsa termasuk permainan di sebalik tabir untuk membuat keputusan atau penghakiman yang betul mengenai isu konflik Iran-Israel.

Felo Kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara (NASR), Profesor Dr Azmi Hassan berkata, ia berikutan dalam sesetengah perkara termasuklah melibatkan isu sensitif, ada keputusan yang dibuat pemimpin negara perlu mengambil kira kepentingan lebih besar.

Menurutnya, pemimpin negara berdepan kesukaran atau ‘dipulas tangan’ dalam isu-isu tertentu, namun Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menunjukkan keberanian apabila dua kali menyatakan sokongan secara terbuka melibatkan Palestin walaupun negara Arab tidak berani melakukannya.

“Pemimpin kita menyatakan sokongan secara terbuka kepada Iran. Walaupun kita tidak merasakannya, Anwar sedikit demi sedikit ‘dipulas tangan’ agar tidak terlalu menunjukkan sokongan kepada Iran.

“Sokongan kepada Palestin lain tetapi Iran ini dianggap pengganas oleh masyarakat antarabangsa yang kebanyakan negara tidak mahu dekat termasuk negara Arab. Jadi, apa yang berlaku di sebalik tabir amat penting.

“Cuba namakan seorang pemimpin Arab yang berani berhubung terus dengan Ketua Hamas, Ismail Haniyeh dan pamerkan secara umum. Tiada, hanya Anwar sahaja yang berani dan bukan sekali dilakukannya,” katanya.

Wacana Sinar Harian edisi 436, bertajuk
Wacana Sinar Harian edisi 436, bertajuk "Konflik Iran-Israel: Kesan kepada Malaysia" (dari kiri) hos, Ismail Adnan; Felo Kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara (NASR), Profesor Dr Azmi Hassan (dua dari kiri); Pensyarah School of Law and Governance Universiti Taylor's, Dr Saidatul Nadia Abd Aziz (dua dari kanan) dan pemerhati politik antarabangsa, Nasaie Ismail (kanan) yang berlangsung di Kompleks Kumpulan Karangkraf pada Selasa. FOTO: SINAR HARIAN/MOHD HALIM ABDUL WAHID

Beliau berkata demikian ketika menjadi panelis Wacana siri 436 bertajuk 'Konflik Iran-Israel: Kesan kepada Malaysia’ yang disiarkan secara langsung di semua platform digital Sinar Harian pada Selasa.

Artikel Berkaitan:

Program yang dihoskan oleh Ismail Adnan itu turut menampilkan, Pensyarah Pusat Pengajian Undang-undang dan Tadbir Urus Universiti Taylor’s dan pemerhati politik antarabangsa, Nasaie Ismail sebagai panel.

Mengulas lanjut, Azmi berkata, isu pokok yang perlu difahami mengenai serangan dron dan peluru berpandu oleh Iran ke atas Israel bukan bertujuan membunuh rakyat atau memusnahkan negara rejim Zionis tersebut.

Sebaliknya, beliau berkata, ia merupakan isyarat bahawa Iran mampu berdepan dengan Israel sendiri dan tidak menggunakan bantuan lain seperti Hamas.

“Tindakan Iran ini sebenarnya untuk mempertahankan diri kerana Israel telah menyerang kedutaannya di Damsyik, Syria malah mereka mempunyai hak mengikut Perkara 41 Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

“Sebenarnya, apabila Iran menggunakan ungkapan mempertahankan diri ini, mereka perli Israel kerana rejim Zionis ini sering guna untuk serang Palestin,” ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!