Dakwaan PKR tak dapat sokongan Melayu hanya naratif politik - Mazlan

Mazlan Ali. Foto Sinar Harian-MOHD HALIM ABDUL WAHID
Mazlan Ali. Foto Sinar Harian-MOHD HALIM ABDUL WAHID
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang mengetuai Pakatan Harapan (PH) disifatkan sebagai parti masa depan di negara ini.

Pensyarah Kanan Fakulti Teknologi dan Informatik Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr Mazlan Ali menjelaskan, ia kerana parti berkenaan bergerak mengikut denyut nadi rakyat, walaupun wujud dakwaan PKR tidak mendapat sokongan orang Melayu.

Menjelaskan perkara itu, beliau tidak menolak bahawa ia hanya naratif politik yang berubah-ubah.

“Kita ambil contoh pentadbiran PH di Selangor sejak 2008 yang tidak meminggirkan agenda perjuangan orang Melayu.

"Ia menyebabkan parti itu terus disokong penduduk negeri berkenaan,” katanya semasa Wacana Sinar edisi 437 bertajuk ‘25 tahun PKR: Reformasi vs persepsi’ pada Selasa.

Program tersebut dihoskan oleh Ismail Adnan turut menampilkan dua lagi panelis iaitu Pengerusi Biro Pekerja PKR, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid dan Timbalan Ketua Angkatan Muda Keadilan, Muhammad Kamil Abdul Munim yang disiarkan secara langsung di semua platform media sosial Sinar Harian.

Mengulas lanjut, Mazlan berkata, agenda Melayu tidak dipinggirkan oleh parti PKR yang kononnya tidak menjaga bangsa tersebut.

“Di Selangor ini, tunjangnya orang Melayu dan PH masih menguasai kawasan-kawasan majoriti Melayu, seperti Shah Alam dan Kuala Selangor.

Artikel Berkaitan:

“Banyak kawasan-kawasan ini dimenangi, jadi naratif bahawa PKR ini tidak disokong oleh orang Melayu saya kurang bersetuju,” katanya.

Sementara itu katanya, kempen ringkas dan padat yang disiarkan di platform media sosial merupakan inisiatif PKR memperkenalkan parti berkenaan bagi meraih undian daripada anak muda.

Mazlan berkata, perkembangan di media sosial terlalu pantas dan popular digunakan PKR sebelum ini bagi mempromosikan maklumat berkaitan parti mereka dan politik tanah air.

Menurutnya, inisiatif melalui media sosial digerakkan berikutan parti tersebut yang merupakan pembangkang pada waktu itu, tidak boleh menggunakan media utama dan televisyen milik kerajaan, menyebabkan mereka lebih dikenali di media sosial.

“Perjalanan reformasi itu dilakukan di media sosial, khususnya PKR pada ketika itu kerana banyak masa untuk berbincang dan menyerang untuk melemahkan kerajaan pada masa itu.

“Penggunaan media sosial selepas tahun 1998, ketika Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), naratif yang dibawa itu benar.

"Orang muda menyokong bukan kerana faham tetapi mereka percaya kempen yang dilaksanakan di media sosial,” katanya.

Selain itu, tambah Mazlan, kejayaan parti itu sekarang kerana mereka dapat menyesuaikan diri dan mengubah DNA iaitu daripada UMNO kepada sebuah parti tersendiri yang mempunyai segmen sokongan masing-masing.

Menurutnya, hasil tersebut dilihat sebagai prorakyat menyebabkan PKR menang di kawasan bandar atau separa bandar, walaupun prestasinya di kawasan luar bandar atau kawasan Melayu konservatif itu masih belum tercapai.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!