Rundingan AS-Iran memasuki fasa kritikal di Geneva

Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi berucap dalam pertemuan dua hala antara Switzerland dan Iran sempena pusingan kedua rundingan AS-Iran di Geneva. - AFP
Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi berucap dalam pertemuan dua hala antara Switzerland dan Iran sempena pusingan kedua rundingan AS-Iran di Geneva. - AFP
A
A
A

GENEVA - Iran dan Amerika Syarikat (AS) memasuki pusingan penting rundingan pada Khamis apabila delegasi kedua-dua negara dijadual bertemu semula di Geneva, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Ini merupakan pusingan ketiga rundingan tidak langsung tahun ini yang sekali lagi dimediasi Oman.

Delegasi Iran diketuai Menteri Luar, Abbas Araghchi, manakala pihak AS diwakili Utusan Khas, Steve Witkoff serta menantu Presiden AS, Donald Trump, Jared Kushner.

Rundingan itu tertumpu kepada program nuklear Iran yang menjadi kontroversi.

Washington mahu menghalang kepimpinan di Teheran daripada membangunkan senjata nuklear.

Kerajaan Iran menafikan hasrat tersebut, namun menyatakan kesediaan untuk mengehadkan program nuklearnya.

Sebagai balasan, Teheran menuntut supaya sekatan ekonomi yang dikenakan ke atasnya ditarik balik.

Republik Islam itu juga enggan membincangkan isu lain yang dibangkitkan AS seperti mengehadkan program peluru berpandu atau menghentikan sokongan terhadap kumpulan seperti Hezbollah di Lubnan.

Kira-kira seminggu lalu, Trump mengeluarkan kata dua kepada kepimpinan di Teheran dengan tarikh akhir ditetapkan awal Mac.

Artikel Berkaitan:

“Kita sama ada akan mencapai perjanjian atau ia akan menjadi sesuatu yang tidak baik untuk mereka,” katanya.

Terdapat kemungkinan Trump mengambil tindakan ketenteraan terhadap kepimpinan di Teheran serta struktur kuasanya.

AS dilaporkan meningkatkan kehadiran ketenteraan secara signifikan di rantau itu sejak kebelakangan ini. - Bernama

Ringkasan AI

  • Iran dan Amerika Syarikat memulakan pusingan penting rundingan di Geneva
  • Rundingan ini merupakan yang ketiga untuk tahun ini dan dimediasi oleh Oman
  • Fokus utama adalah program nuklear Iran
  • Iran menuntut pembatalan sekatan ekonomi sebagai balasan
  • AS meningkatkan kehadiran ketenteraan di rantau itu

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!