Iran uji peluru pertahanan udara Sayyad-3G di Selat Hormuz

TEHERAN – Tentera Laut Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) berjaya menguji peluru berpandu pertahanan udara Sayyad-3G buat pertama kali dalam latihan ketenteraan 'Kawalan Pintar' yang berlangsung di Selat Hormuz.
Menurut kenyataan rasmi, peluru berpandu itu dilancarkan dari kapal Shahid Sayyad Shirazi, sekali gus menandakan pengoperasian sulung sistem berkenaan di platform maritim.
Sayyad-3G ialah varian laut bagi sistem pertahanan udara Sayyad-3 yang dilengkapi pelancar menegak dengan jarak operasi dilaporkan sehingga 150 kilometer.
Pihak berkuasa Iran memaklumkan sistem tersebut berkeupayaan mengesan dan memintas sasaran udara secara autonomi, selain disepadukan dalam rangkaian arahan dan kawalan menyeluruh.
Keupayaan itu dikatakan mampu mewujudkan perlindungan pertahanan udara jarak sederhana hingga jauh terhadap aset laut, termasuk kapal kelas Shahid Soleimani.

Latihan selama tiga hari yang bermula 16 Februari itu diadakan di laluan perairan strategik berkenaan, yang menjadi antara koridor transit tenaga terpenting dunia.
Pemerhati ketenteraan menyifatkan ujian tersebut sebagai sebahagian daripada usaha Teheran memperkukuh sistem pertahanan udara dan peluru berpandu bersepadu, khususnya di zon maritim sensitif.
Latihan itu turut berlangsung ketika ketegangan serantau meningkat susulan ancaman berulang Amerika Syarikat terhadap Iran berhubung isu program nuklear, dengan Teheran memberi amaran bahawa sebarang tindakan ketenteraan akan menerima tindak balas tegas. - Agensi
Ringkasan AI
- Tentera Laut Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) telah menguji peluru berpandu Sayyad-3G di Selat Hormuz dalam latihan 'Kawalan Pintar'
- Peluru berpandu itu dilancarkan dari kapal Shahid Sayyad Shirazi dalam operasi sulungnya di platform maritim
- Sayyad-3G adalah varian laut dengan jarak operasi hingga 150 kilometer dan dilengkapi pelancar menegak
- Sistem itu dapat mengesan dan memintas sasaran udara secara autonomi dan terintegrasi dalam rangkaian arahan dan kawalan
- Latihan ketenteraan berlangsung selama tiga hari di salah satu koridor transit tenaga terpenting dunia amid ketegangan serantau yang meningkat
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
