DNA perompak kedai emas sepadan dengan suspek dikehendaki pada 2013

CHIANG RAI - Keputusan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) seorang perompak kedai emas yang ditahan minggu lalu berpadanan dengan satu kes rompakan pada 2013.
Memetik laporan Thaiger, polis memaklumkan padanan itu menutup kes lama selepas siasatan selama lebih sedekad dibuat.
Jalor, 28, yang juga dikenali sebagai Tew, ditahan di sini pada 19 Februari lalu selepas mencuri hampir 15 juta Baht (kira-kira RM1.8 juta) dalam bentuk wang tunai dan emas daripada sebuah kedai perhiasan di pusat beli-belah di Soi Sukhumvit 50, Bangkok pada 31 Januari lepas.
Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan Jalor memasuki kedai emas ketika staf sedang menutup premis.
Polis berkata, dia mengugut untuk membakar pusat beli-belah itu, menyebabkan kakitangan terpaksa menyerahkan aksesori emas dan wang tunai kerana bimbang keselamatan diri masing-masing.
Jalor melarikan diri dengan menunggang motosikal dan berjaya mengelak daripada ditangkap selama hampir tiga minggu sebelum diberkas pihak berkuasa.
Suspek memberitahu polis bahawa dia meminta rakannya di Myanmar untuk menjual emas yang dicuri itu.
Dia turut memaklumkan bahawa dirinya menerima 200,000 baht (anggaran RM25,000) hasil jualan kumpulan pertama dan telah mengatur pertemuan susulan bagi baki jumlah pada 7 Mac, namun ditahan lebih awal.
Pegawai dari Biro Polis Metropolitan memberitahu Channel 7 (berita tempatan) bahawa ciri fizikal Jalor serta modus operandi rompakan itu menyerupai satu kes rompakan emas yang dilaporkan berlaku pada 2013 di pusat beli-belah di kawasan Rama 4, Bangkok.

Dalam siasatan terdahulu, polis mengumpul DNA dipercayai milik suspek daripada pemegang sebuah motosikal Yamaha berwarna kuning yang digunakan dalam jenayah berkenaan.
Polis berkata, pihaknya membandingkan DNA milik Jalor dengan DNA yang dikumpulkan dalam kes lama itu dan ia sepadan.
Pasukan penyiasat mengesahkan Jalor ialah perompak yang dikehendaki dalam kes 2013 dan memaklumkan mereka merancang menambah pertuduhan terhadapnya.
Satu lagi kes lama yang berjaya diselesaikan melalui ujian DNA dilaporkan pada September tahun lalu.
Dalam kes itu, kemajuan teknologi dan kaedah pengumpulan DNA yang lebih baik membolehkan polis mengenal pasti rangka manusia ditemui di Bangkok sebagai seorang wanita Thailand bernama Kae, dilaporkan hilang pada 2013.
Polis turut berjaya mengesan teman lelaki Kae yang disyaki membunuhnya.
Dia dipanggil untuk disoal siasat beberapa kali dan menafikan tuduhan, namun kemudian membunuh diri sebelum sesi soal siasat seterusnya.
Ringkasan AI
- Keputusan ujian DNA perompak kedai emas berpadanan dengan kes rompakan pada 2013
- Perompak, Jalor, ditahan selepas curi hampir 15 juta Baht dari kedai perhiasan di Bangkok
- CCTV menunjukkan Jalor mengugut kakitangan kedai dengan bakar pusat beli-belah sebelum larikan diri
- DNA Jalor sepadan dengan sampel dari kes rompakan emas di tahun 2013
- Polis mengesahkan Jalor sebagai suspek kes 2013 dan merancang menambah pertuduhan terhadapnya
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

