Apa helah Trump terhadap Iran?

Trump menentang Iran.- Agensi
Trump menentang Iran.- Agensi
A
A
A

WASHINGTON – Ancaman Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, untuk melancarkan serangan terhadap Iran mencetuskan persoalan besar matlamat sebenar Washington.

Turut jadi tanda tanya sama ada konflik tercetus secara terhad atau berpanjangan.

Pentadbiran Trump dilaporkan telah menggerakkan kapal perang dan puluhan pesawat pejuang ke Asia Barat, sekali gus meningkatkan tekanan ketenteraan terhadap Teheran.

Namun, sehingga kini, tiada butiran jelas mengenai objektif jangka panjang Amerika Syarikat sekiranya tindakan ketenteraan dilaksanakan.

Trump memberi tempoh 10 hingga 15 hari untuk memutuskan sama ada akan mengarahkan serangan jika tiada perjanjian nuklear dicapai.

Laporan media AS menyebut beliau telah dibentangkan beberapa pilihan, termasuk serangan terpilih terhadap kepimpinan tertinggi Iran, termasuk Pemimpin Tertinggi, Ali Khamenei.

Trump sebelum ini menegaskan beliau lebih cenderung kepada penyelesaian diplomatik yang bukan sahaja mengehadkan program nuklear Iran, malah turut merangkumi isu keupayaan peluru berpandu balistik serta sokongan Teheran terhadap kumpulan seperti Hizbullah dan Hamas. Namun, Iran dilaporkan menolak tuntutan sedemikian.

Menurut penganalisis Asia Barat, Alex Vatanka, pentadbiran Trump berkemungkinan menyasarkan konflik bersifat terhad tetapi berimpak tinggi – bertujuan melemahkan infrastruktur peluru berpandu dan mengubah imbangan kuasa serantau tanpa terjerumus ke dalam peperangan berpanjangan.

Trump mendakwa serangan terdahulu telah memusnahkan program pengayaan uranium Iran.

Artikel Berkaitan:

Di Washington, parti Demokrat menyuarakan kebimbangan bahawa Presiden mungkin membawa Amerika ke dalam konflik tanpa kelulusan Kongres – satu-satunya badan yang berkuasa mengisytiharkan perang menurut Perlembagaan AS.

Kekuatan ketenteraan AS di Asia Barat

Ketika ini, tentera AS menempatkan 13 kapal perang di Asia Barat, termasuk kapal induk USS Abraham Lincoln, sembilan kapal pemusnah dan tiga frigat.

Kapal induk terbesar dunia, USS Gerald Ford, turut dilaporkan memasuki Mediterranean.

Selain itu, puluhan pesawat tempur dan puluhan ribu anggota tentera AS kini berada di rantau berkenaan – sekali gus berpotensi menjadi sasaran sekiranya Iran melancarkan serangan balas.

Ke arah mana konflik?

Bekas Presiden Majlis Hubungan Luar Amerika Syarikat, Richard Haass, mempersoalkan sama ada konflik akan melemahkan atau mengukuhkan kerajaan Iran.

Setiausaha Negara, Marco Rubio, turut mengakui bahawa tiada siapa dapat meramal apa yang akan berlaku sekiranya kepimpinan tertinggi Iran tumbang.

Negara-negara Teluk Arab yang mempunyai hubungan diplomatik dengan Teheran pula memberi amaran agar Washington tidak mengambil langkah ketenteraan yang boleh mencetuskan ketidakstabilan besar di rantau tersebut.

Penganalisis turut berpandangan bahawa sebarang tindakan ketenteraan terhadap Iran bukan sahaja berisiko mencetuskan tindak balas balas secara langsung, malah boleh mengganggu laluan perdagangan global termasuk Selat Hormuz, yang menjadi nadi penghantaran minyak dunia.

Sekiranya konflik meluas, impaknya bukan sekadar geopolitik, tetapi turut menjejaskan ekonomi global melalui lonjakan harga tenaga dan ketidaktentuan pasaran antarabangsa.

Secara keseluruhan, persoalan utama masih belum terjawab: Adakah Washington benar-benar bersedia untuk menanggung risiko konflik yang mungkin mencetuskan kesan domino geopolitik – atau sekadar menggunakan tekanan ketenteraan sebagai alat rundingan terakhir terhadap Teheran?

Selain itu, sebarang konflik antara Washington dan Teheran berpotensi membuka ruang campur tangan kuasa besar lain seperti Rusia dan China yang mempunyai kepentingan strategik di Iran. - AFP

 

Ringkasan AI

  • Ancaman Presiden AS, Donald Trump, untuk serang Iran timbulkan persoalan matlamat Washington
  • Pentadbiran Trump gerakkan kapal perang dan pesawat pejuang ke Asia Barat, meningkat tekanan terhadap Teheran
  • Trump beri tempoh 10 hingga 15 hari untuk Iran capai perjanjian nuklear sebelum memutuskan serangan
  • Penganalisis percaya Trump mungkin sasar konflik terhad tetapi berimpak tinggi untuk lemahkan Iran tanpa peperangan berpanjangan
  • Tindakan ketenteraan AS berisiko mencetuskan balasan Iran, mengganggu perdagangan global dan menjejaskan ekonomi global

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!