Laporan forensik pertama Syamsul Haris maut kerana pneumonia bercanggah - Peguam

Ummu Haiman Bee (dua dari kiri) hadir ke Mahkamah Tinggi Shah Alam pada Jumaat bersama ahli keluarga dan peguamnya (kiri).
Ummu Haiman Bee (dua dari kiri) hadir ke Mahkamah Tinggi Shah Alam pada Jumaat bersama ahli keluarga dan peguamnya (kiri).
A
A
A

SHAH ALAM – Peguam yang mewakili ibu pelatih Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai memberitahu, Syamsul Haris Shamsudin meninggal dunia kerana ‘pneumonia’ atau radang paru-paru.

Peguam, Datuk Naran Singh yang mewakili ibu Allahyarham, Ummu Haiman Bee Daulatgun, 45, berkata, keputusan itu diperoleh berdasarkan laporan bedah siasat pertama oleh Hospital Sultan Ismail.

Sedangkan katanya, keputusan berkenaan bercanggah dengan laporan bedah siasat kedua yang dibuat tiga pakar di Hospital Kuala Lumpur (HKL), yang menyatakan Allahyarham meninggal dunia kerana terdapat kecederaan teruk di leher.

“Laporan forensik kedua ini jelas menolak dapatan laporan pertama dan saya percaya, percanggahan menyebabkan AGC (Jabatan Peguam Negara) mengklasifikasikannya sebagai kes bunuh,” katanya ketika sidang media di luar Mahkamah Tinggi di sini pada Jumaat.

Dalam pada itu beliau berkata, anak guam juga memohon mahkamah mengeluarkan arahan supaya Pengarah Hospital Kota Tinggi, Johor menyerahkan laporan bedah siasat pertama kepada pemohon secara rasmi.

Walaupun telah menerima salinan laporan forensik pertama daripada pihak ketiga, namun beliau mengekalkan permohonan sama di mahkamah itu, agar dokumen tersebut diserahkan sendiri oleh hospital dan bukannya diperoleh daripada pihak ketiga.

Dalam pada itu peguam ini berkata, anak guamnya selaku pemohon juga meminta mahkamah mengeluarkan arahan supaya salinan nota keterangan perubatan dilampirkan kepada mereka.

Katanya, ia membabitkan laporan perubatan yang diakui sah, disediakan pegawai perubatan bertugas dari Jabatan Kecemasan dan Trauma, semasa mayat Syamsul Haris dibawa ke Hospital Kota Tinggi.

Semasa prosiding, beliau berkata, pihak kerajaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin selaku responden, memohon masa selama seminggu bagi mendapatkan arahan Peguam Negara, sama ada dokumen berkenaan boleh dibekalkan atau sebaliknya.

Artikel Berkaitan:

“Hakim, Datuk Bhupindar Singh Gucharan Singh Preet kemudiannya menetapkan 12 Disember ini untuk pengurusan kes bagi status permohonan tersebut,” katanya.

Mangsa meninggal dunia ketika menjalani latihan di Pusat Latihan Darat (Pulada) Ulu Tiram pada 28 Julai lalu.

Pada 13 Ogos lalu, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, berdasarkan siasatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), tiada unsur penderaan berlaku dalam kes berkenaan.

Katanya, semua saksi termasuk pegawai dan jurulatih yang terlibat dalam latihan itu menafikan berlakunya sebarang bentuk penderaan terhadap mangsa.

Bagaimanapun, pada 26 Ogos, Mahkamah Tinggi di sini memerintahkan kubur pelatih yang dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Rinching Ulu di Semenyih, Selangor digali semula.

Hakim berkata, proses menggali semula kubur Syamsul Haris bagi membolehkan bedah siasat kedua dijalankan dalam tempoh 14 hari selepas jasad dikeluarkan.

Selepas laporan bedah siasat daripada HKL diperoleh pada 28 November, Naran berkata, bedah siasat kedua mendapati punca kematian adalah disebabkan kecederaan pada leher.

Katanya, terdapat beberapa kecederaan lain seperti melecet yang turut ditemukan pada jasad Allahyarham dalam proses bedah siasat kedua yang dijalankan pada 30 Ogos lalu.

 

 

 

 

Ringkasan AI

  • Syamsul Haris Shamsudin meninggal dunia akibat pneumonia berdasarkan laporan bedah siasat pertama oleh Hospital Sultan Ismail
  • Laporan bedah siasat kedua oleh tiga pakar di HKL menemukan kematian disebabkan kecederaan teruk di leher, menolak dapatan laporan pertama
  • Peguam memohon mahkamah supaya Pengarah Hospital Kota Tinggi menyerahkan laporan bedah siasat pertama secara rasmi kepadanya
  • Mangsa meninggal ketika menjalani latihan di Pulada Ulu Tiram, dengan siasatan ATM mendapati tiada unsur penderaan
  • Mahkamah Tinggi mengarahkan kubur Syamsul Haris digali semula untuk bedah siasat kedua, yang mendapati punca kematian adalah kecederaan di leher

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!