Ibu Syamsul Haris dibenarkan tarik balik notis usul laporan bedah siasat

Ummu Haiman Bee. Foto Bernama
Ummu Haiman Bee. Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Mahkamah Tinggi di sini pada Jumaat membenarkan permohonan ibu Allahyarham Syamsul Haris Shamsudin untuk menarik balik notis usul yang mengarahkan Hospital Kota Tinggi, Johor membekalkan salinan laporan bedah siasat pertama pelatih Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai itu.

Hakim Datuk Bhupindar Singh Gurcharan Singh Preet membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan Ummu Haiman Bee Daulatgun, 46, yang diwakili peguam Aiman Haziq Saiful Kamal.

Terdahulu, Aiman Haziq memaklumkan bahawa permohonan itu dibuat setelah pihaknya menerima laporan bedah siasat dan perubatan pertama Syamsul Haris pada 30 Disember lepas daripada pihak hospital serta pendakwaan.

Timbalan Pendakwa Raya, Parvin Hameedah Natchiar tidak membantah permohonan itu.

Sementara itu, Aiman Haziq yang dibantu oleh peguam, Muhammad Syawal Mohd Razak, ketika ditemui di luar mahkamah berkata, pihaknya memohon untuk menarik balik usul tersebut dengan kebebasan memfailkannya semula jika terdapat perkembangan baharu pada masa hadapan. 

Beliau berkata, notis usul itu difailkan di Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 30 Oktober lepas bagi memperoleh perintah mengarahkan Pengarah Hospital Sultan Ismail dan/atau Pengarah Hospital Kota Tinggi Johor membekalkan salinan laporan bedah siasat pertama serta nota keterangan daripada Bahagian Kecemasan dan Kemalangan hospital berkenaan kepada peguam keluarga si mati.

Aiman Haziq turut memaklumkan pihaknya kini menunggu perkembangan lanjut selepas kes itu diklasifikasikan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Pada 2 Disember lepas, Jabatan Peguam Negara mengarahkan agar kes kematian Syamsul Haris diklasifikasikan di bawah kesalahan membunuh untuk siasatan lanjut oleh pihak Polis Diraja Malaysia.

Pada 19 Ogos lepas, Ummu Haiman Bee memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi antaranya untuk membolehkan bedah siasat kali kedua dijalankan, dan mencadangkan prosiding inkues dimulakan bagi menyiasat kematian pelajar itu.

Artikel Berkaitan:

Syamsul Haris, 22, dilaporkan meninggal dunia pada 28 Julai 2025 di Hospital Kota Tinggi ketika menjalani latihan di Lapang Sasar Imunisasi Tempur, Pusat Latihan Tempur Tentera Darat (Pulada) di Ulu Tiram, Johor dan dikebumikan pada 29 Julai tahun lepas di Tanah Perkuburan Islam Kampung Riching Ulu di Selangor. - Bernama

 

 

 

Ringkasan AI

  • Mahkamah Tinggi Shah Alam membenarkan permohonan menarik balik notis usul bagi salinan laporan bedah siasat Allahyarham Syamsul Haris Shamsudin
  • Ummu Haiman Bee Daulatgun, ibu kepada Syamsul Haris, diwakili oleh peguam Aiman Haziq Saiful Kamal
  • Permohonan ditarik balik setelah menerima laporan bedah siasat dan perubatan pertama daripada hospital dan pendakwaan
  • Timbalan Pendakwa Raya Parvin Hameedah Natchiar tidak membantah permohonan tersebut
  • Kes kematian Syamsul Haris kini diklasifikasikan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan untuk siasatan lanjut

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!