Lelaki OKU lemas ketika cari lidi penyapu

TAMPIN - Seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) fizikal yang dilaporkan tidak pulang ke rumah sejak petang Khamis ditemukan meninggal dunia, dipercayai lemas di Sungai Gedok di sini pada Jumaat.
Ketua Polis Daerah Tampin, Superintenden Amiruddien Sariman berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam berhubung kejadian itu kira-kira jam 11.50 pagi.
“Siasatan awal di lokasi mendapati, seorang lelaki memakai kemeja-T ditemukan tersangkut pada ranting kayu di dalam sungai terbabit.
“Mangsa merupakan lelaki tempatan berusia 62 tahun yang dipercayai keluar dari rumah sejak semalam untuk mencari lidi penyapu di kawasan berhampiran sungai,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Menurutnya, mangsa dipercayai tergelincir sebelum terjatuh ke dalam sungai dan lemas.
“Tiada sebarang unsur jenayah dikesan di tempat kejadian. Mayat mangsa dibawa ke Hospital Tampin untuk tindakan lanjut,” katanya.
Beliau berkata, kes diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut (SDR).
Sementara itu, penduduk, Umi Kalsom Abu Bakar, 60, berkata, adik ipar mangsa memaklumkan lelaki berkenaan keluar mencari daun sawit kira-kira jam 3 petang, Khamis.
Katanya, mangsa yang sudah berkahwin dan mempunyai dua anak itu melakukan kerja membuat lidi penyapu sejak sekian lama sebagai sumber pendapatan.
"Pagi tadi ada penduduk yang sedang mencari daun sawit untuk beri makan kambing terjumpa sepasang kasut dan parang di satu kawasan sebelum ternampak mayat mangsa," katanya.
Ringkasan AI
- Seorang lelaki OKU fizikal ditemukan meninggal dunia dipercayai lemas di Sungai Gedok, Tampin
- Pihak polis menerima panggilan tentang kejadian itu pada jam 11.50 pagi Jumaat
- Mangsa merupakan lelaki tempatan berusia 62 tahun yang keluar untuk mencari lidi penyapu
- Dipercayai tergelincir dan terjatuh ke dalam sungai
- Kes diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut (SDR)
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

