MRM tuntut DBKL perjelas percanggahan fakta isu Street Dakwah

SHAH ALAM - Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) diminta memberikan penjelasan lanjut terhadap percanggahan fakta berhubung tindakan penguatkuasaan di tapak Street Dakwah supaya isu tersebut tidak terus disalah tafsir oleh masyarakat.
Pengerusi Multiracial Reverted Muslims (MRM), Muhammad Azim Abdullah Suhaimin berkata, sejak awal pihaknya mengambil langkah proaktif untuk mendapatkan kepastian daripada DBKL berkaitan keperluan lesen bagi aktiviti dijalankan.
Menurutnya, beliau sendiri hadir ke Jabatan Perlesenan dan Pembangunan Perniagaan DBKL untuk bertanya secara langsung dan dimaklumkan bahawa tiada lesen diperlukan kerana tiada urusan perniagaan dijalankan serta aktiviti berlangsung di ruang awam dan bukan dalam premis perniagaan.
"Sepanjang 14 tahun Street Dakwah dijalankan, tiada larangan rasmi atau kompaun pernah dikeluarkan kepada MRM termasuk pada hari kejadian barang-barang dakwah disita.
"Sekiranya benar berlaku pelanggaran peraturan seperti didakwa, MRM sebagai organisasi yang menghormati undang-undang akan mengaku dan membayar kompaun sewajarnya," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Pada Selasa, pendakwah bebas, Firdaus Wong Wai Hung mempersoalkan tindakan pihak berkuasa merampas reruai dan bahan Street Dakwah MRM pada hari pertama cuti Tahun Baharu Cina, selain mendakwa tiada notis saman atau senarai inventori dikeluarkan ketika proses rampasan.
Sementara itu, DBKL menegaskan tindakan penguatkuasaan di Jalan Bukit Bintang dilaksanakan mengikut peruntukan undang-undang kerana menghalang laluan awam.
Mengulas isu menghalang laluan awam, Muhammad Azim berkata, DBKL memaklumkan tindakan diambil atas alasan reruai menghalang laluan awam, namun lokasi digunakan merupakan kawasan sama sering digunakan kumpulan buskers hampir setiap hari selepas aktiviti mereka tamat.
Tambahnya, lokasi tersebut juga pernah digunakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan menyanyi lagu "Dunia Indah Bersama" bersama buskers dalam aktiviti turun padang Street Dakwah santai pada 30 Januari lalu.
"Jika benar lokasi tersebut dikategorikan sebagai menghalang laluan, garis panduan penguatkuasaan perlu dilaksanakan secara konsisten dan menyeluruh terhadap semua pihak." ujarnya lagi.
Menurut beliau, MRM tidak memohon layanan istimewa sebaliknya hanya memohon konsistensi dalam penguatkuasaan.
Dalam pada itu, Muhammad Azim menambah, MRM turut memandang serius kenyataan bahawa pihak DBKL menunggu 30 minit dan tiada wakil tampil memberi kerjasama di lokasi.
Jelasnya, sukarelawan MRM berada di lokasi setelah selesai urusan ke tandas, malah interaksi dengan pegawai DBKL berlaku dan rantai keselamatan di reruai dibuka dengan kerjasama wakil MRM.
Justeru, beliau mempersoalkan sama ada tempoh menunggu 30 minit itu bertujuan untuk berbincang atau disebabkan reruai diikat dan dikunci oleh wakil MRM ketika beliau ke tandas serta menukar telefon kerana bateri lemah.
Katanya, persoalan juga timbul bagaimana struktur reruai boleh dialihkan sekiranya tiada wakil MRM di lokasi untuk membuka kunci dan berbincang serta bagaimana wakil sama boleh mengambil gambar petugas DBKL seramai 12 orang di reruai berkenaan.
"Jikalau sukarelawan boleh mengambil gambar tersebut, sudah pasti dia juga tampil di lokasi untuk berjumpa dan memberikan kerjasama kepada petugas DBKL.
"Oleh itu, kenyataan bahawa tiada wakil tampil memberi kerjasama tidak selari dengan fakta yang berlaku di lokasi," menurutnya.
Muhammad Azim berkata, MRM menghormati dan mendaulatkan undang-undang serta tidak memanipulasi isu itu menjadi polemik perkauman atau agama atau memainkan naratif mangsa.
Bagaimanapun, beliau menegaskan, organisasi itu berhak mempertahankan integriti apabila kenyataan dikeluarkan memberi gambaran tidak tepat.
"MRM kekal komited untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak berkuasa bagi memastikan aktiviti dijalankan secara tertib dan mematuhi garis panduan," katanya.
Beliau memaklumkan, pihak mereka juga menyambut baik kenyataan DBKL yang menjelaskan bahawa aktiviti dakwah di ruang awam tidak dihalang.
Katanya, penjelasan tersebut penting kerana mengesahkan aktiviti Street Dakwah boleh diteruskan seperti sebelum ini dan kehadiran mereka di tempat awam menjadi ruang interaksi terbuka antara masyarakat pelbagai latar belakang.
Ringkasan AI
- DBKL diminta penjelasan lanjut berhubung tindakan penguatkuasaan di tapak Street Dakwah
- MRM sejak awal proaktif mendapatkan kepastian daripada DBKL mengenai keperluan lesen
- Tiada lesen diperlukan untuk aktiviti Street Dakwah kerana tidak melibatkan urusan perniagaan di ruang awam
- Penguatkuasaan DBKL di Jalan Bukit Bintang atas dakwaan menghalang laluan awam
- MRM meminta konsistensi dalam penguatkuasaan tanpa mengira pihak dan aktiviti
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

