DBKL tunggu wakil MRM lebih 30 minit sebelum rampas khemah

KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menegaskan tindakan penguatkuasaan di Jalan Bukit Bintang, berhadapan Bangunan Yayasan Selangor pada Selasa dilaksanakan mengikut peruntukan undang-undang selepas menunggu wakil Multiracial Reverted Muslims (MRM) lebih 30 minit di lokasi.
DBKL dalam kenyataan pada Rabu memaklumkan pihaknya merujuk kepada hantaran di media sosial berhubung tindakan penguatkuasaan yang dilaksanakan di kawasan berkenaan.
Menurut DBKL, hasil pemantauan di lapangan mendapati terdapat pelanggaran peraturan berkaitan pemasangan khemah di atas laluan pejalan kaki yang merupakan kawasan awam dan perlu sentiasa bebas halangan bagi menjamin keselamatan serta kelancaran pergerakan orang ramai.
“Susulan itu, petugas DBKL telah hadir ke lokasi bagi mendapatkan penjelasan daripada pihak yang terlibat.
“Walau bagaimanapun, selepas menunggu melebihi 30 minit, tiada wakil pihak berkenaan tampil untuk memberikan kerjasama atau penjelasan kepada petugas DBKL,” menurut kenyataan pihak berkuasa tempatan itu.
Sehubungan itu, DBKL memaklumkan pihaknya mengambil tindakan menurunkan khemah serta memindahkan bahan-bahan berkaitan untuk tujuan simpanan selaras dengan peruntukan undang-undang dan peraturan kecil yang berkuat kuasa.
Sepanjang pelaksanaan tindakan tersebut, pihak yang bertanggungjawab masih tidak hadir untuk memberikan penjelasan.
DBKL turut menegaskan semua tindakan penguatkuasaan dilaksanakan secara profesional, berhemah dan berlandaskan undang-undang bagi memastikan keselamatan awam, ketenteraman bandar serta kelancaran penggunaan ruang awam terus terpelihara demi kepentingan bersama warga kota.
Menurut kenyataan itu lagi, DBKL tidak pernah menghalang aktiviti dakwah di ruang awam, namun semua aktiviti hendaklah dilaksanakan mengikut proses dan prosedur yang ditetapkan oleh pihak berkuasa tempatan.
Dalam masa terdekat, pihak pengurusan DBKL akan mengadakan perjumpaan dengan pihak MRM bagi mengadakan perbincangan konstruktif ke arah penyelesaian jangka panjang serta memastikan situasi seumpama itu tidak berulang pada masa hadapan.
Pada Selasa, pendakwah bebas, Firdaus Wong Wai Hung mempersoalkan tindakan pihak berkuasa yang merampas reruai dan bahan Street Dakwah MRM pada hari pertama cuti Tahun Baharu Cina di sekitar Bukit Bintang.
Firdaus Wong yang juga pengasas MRM mendakwa berdasarkan maklumat diterima, tiada sebarang notis saman atau senarai inventori dikeluarkan ketika proses rampasan dilakukan bagi menyatakan kesalahan serta butiran barangan yang dirampas.
Beliau turut mendakwa pihaknya telah menjalankan aktiviti dakwah di lokasi sama sejak 14 tahun lalu tanpa sebarang masalah, malah sebelum ini tidak pernah dimaklumkan mengenai keperluan mendapatkan permit kerana mereka tidak menjalankan sebarang aktiviti jualan serta tidak mengganggu lalu lintas
Ringkasan AI
- DBKL melakukan tindakan penguatkuasaan di Jalan Bukit Bintang kerana pelanggaran pemasangan khemah yang halang laluan pejalan kaki Tindakan diambil selepas tiada wakil MRM tampil memberi penjelasan selepas ditunggu lebih 30 minit Tindakan penguatkuasaan termasuk menurunkan khemah dan memindahkan bahan untuk simpanan mengikut undang-undang DBKL menegaskan tindakan dilakukan secara profesional untuk keselamatan dan ketenteraman awam Pengurusan DBKL akan berjumpa dengan MRM untuk perbincangan konstruktif bagi penyelesaian jangka panjang
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

