Reruai MRM tidak halang laluan, tindakan DBKL dipercayai susulan aduan

KUALA LUMPUR – Orang awam di sekitar tapak bekas reruai Street Dakwah Multiracial Reverted Muslims (MRM) di Bukit Bintang berpendapat kehadiran reruai aktiviti itu tidak menghalang laluan pejalan kaki, namun memahami tindakan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang mengambil langkah penguatkuasaan dipercayai susulan aduan.
Seorang pengunjung, Ain Syafiqah Zulkifli, 22, berkata, berdasarkan pemerhatiannya, laluan di kawasan berkenaan masih boleh digunakan dan tidak menjejaskan pergerakan orang ramai.
Menurutnya, walaupun terdapat reruai di lokasi terbabit, orang ramai masih mempunyai ruang untuk berjalan serta melalui laluan alternatif yang lebih luas.
“Saya rasa tidak ada masalah dengan kehadiran reruai badan bukan kerajaan (NGO) di kawasan terbabit kerana ia berada di tepi jalan, sekali gus tidak mengganggu laluan awam.
“Bagaimanapun, pihak berkuasa tempatan mungkin mengambil tindakan sitaan dan rampasan susulan aduan awam,” katanya ketika ditemui berhampiran tapak reruai berkenaan pada Khamis.
Tinjauan Sinar Harian di sekitar Bukit Bintang mendapati keadaan berhampiran bekas tapak reruai berkenaan agak tenang dan tidak sesak dengan kehadiran pengunjung berbanding kawasan lain di sekitarnya.
Berdasarkan pemerhatian, hanya sekali-sekala pengunjung, khususnya pelancong antarabangsa, melalui laluan tersebut dan pergerakan pejalan kaki dilihat berjalan lancar tanpa sebarang masalah.
Pada Selasa, pendakwah bebas, Firdaus Wong Wai Hung, mempersoalkan tindakan pihak berkuasa merampas reruai dan bahan Street Dakwah MRM pada hari pertama cuti Tahun Baharu Cina, selain mendakwa tiada notis saman atau senarai inventori dikeluarkan ketika proses rampasan.
Firdaus Wong yang juga pengasas MRM berkata, pihaknya telah menjalankan aktiviti di lokasi sama sejak 14 tahun lalu tanpa sebarang masalah. Malah, sebelum ini mereka tidak pernah dimaklumkan mengenai keperluan mendapatkan permit kerana tidak menjalankan aktiviti jualan atau mengganggu lalu lintas.
Sementara itu, DBKL menegaskan tindakan penguatkuasaan di Jalan Bukit Bintang dilaksanakan mengikut peruntukan undang-undang kerana menghalang laluan awam.
Seorang lagi pengunjung, Rufaidah Fariha Hassan Shaari, 22, turut berpandangan kehadiran reruai itu tidak menimbulkan masalah kepada pejalan kaki di kawasan berkenaan.
Menurutnya, orang ramai masih boleh berjalan seperti biasa berhampiran tapak reruai memandangkan kawasan tersebut agak luas.
Justeru, beliau berharap kedua-dua pihak dapat berbincang dan mencari penyelesaian terbaik agar isu berkenaan dapat diselesaikan secara baik.
Bagaimanapun, pandangan berbeza disuarakan seorang pekerja runcit, Razak Razam, 25, yang menyifatkan kehadiran reruai itu mengganggu laluan orang awam.
Katanya, tindakan DBKL adalah wajar dan tepat bagi mengelakkan kesesakan serta memastikan laluan pejalan kaki tidak terhalang.
Ringkasan AI
- Orang awam di Bukit Bintang rasa reruai Street Dakwah MRM tidak halang laluan pejalan kaki
- Ain Syafiqah Zulkifli menyatakan orang ramai masih boleh berjalan dan ada laluan alternatif
- Keadaan sekitar bekas tapak reruai tenang dan pergerakan pejalan kaki lancar
- Firdaus Wong, pengasas MRM, persoalkan tindakan rampasan DBKL tanpa notis
- DBKL tegaskan tindakan penguatkuasaan dilakukan kerana menghalang laluan awam
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

