APM guna lori pindah pesakit 300kg ke HSNZ

APM Besut berjaya memindahkan seorang pesakit 300kg dari Hospital Besut ke HSNZ di Kuala Terengganu pada Khamis.
APM Besut berjaya memindahkan seorang pesakit 300kg dari Hospital Besut ke HSNZ di Kuala Terengganu pada Khamis.
A
A
A

JERTIH - Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Besut berjaya memindahkan seorang pesakit yang memiliki berat lebih 300 kilogram (kg) dari Hospital Besut di sini ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di Kuala Terengganu pada Khamis. 

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Besut Kapten (PA) Mohd Fazlien Jaafar berkata, lelaki berusia 28 tahun itu berdepan kesukaran untuk dibawa menaiki ambulans atau kenderaan biasa berikutan saiz badannya, menyebabkan pihaknya menggunakan lori APM.

"APM menerima panggilan kecemasan daripada pihak hospital pagi tadi meminta bantuan khidmat khas membawa pesakit yang terpaksa ditidurkan tersebut ke HSNZ. 

"Semalam kami (APM) telah membawa pesakit yang sama dari rumahnya di Kampung Padang Luas ke Hospital Besut dengan lori sama, dan hari ini pesakit itu terpaksa dirujuk pula ke HSNZ,” katanya ketika dihubungi Bernama. 

Beliau berkata lima anggota APM Besut bersama sebuah lori terlibat dalam operasi sekitar 12 tengah hari pada Khamis. 

Mohd Fazlien berkata, lori yang membawa pesakit dengan diiringi pegawai perubatan dan beberapa petugas Hospital Besut itu selamat sampai di HSNZ pada 2.30 petang pada Khamis. 

Sementara  itu, abang pesakit, Muhamad Shafik Juraimi, 33, berkata, adiknya Muhammad Azrol Haffiz, 28, dibawa ke Unit Kecemasan Hospital Besut kira-kira 8 malam tadi kerana terdapat jangkitan pada kakinya. 

"Pada mulanya kami hubungi ambulans tetapi apabila ambulans sampai didapati adik saya yang ketika itu sedar dan boleh berjalan dengan bantuan tidak dapat masuk ke dalam kenderaan tersebut kerana keadaan fizikalnya,” katanya ketika ditemui di pekarangan Unit Kecemasan Hospital Besut di sini pada Khamis. 

Muhamad Shafik berkata, berat badan adiknya yang masih bujang itu meningkat secara mendadak sejak awal tahun lepas selepas kakinya membengkak.

Artikel Berkaitan:

Katanya makluman daripada pegawai perubatan, Muhammad Azrol Haffiz yang bekerja di syarikat swasta, terpaksa dirujuk ke HSNZ kerana berlaku jangkitan kuman dalam darah dan terpaksa ditidurkan. - Bernama 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Ringkasan AI

  • APM Besut berjaya memindahkan seorang pesakit berat lebih 300kg dari Hospital Besut ke Hospital Sultanah Nur Zahirah di Kuala Terengganu
  • Pesakit berusia 28 tahun itu menghadapi kesukaran untuk dibawa menaiki ambulans akibat saiz badannya
  • APM menggunakan lori untuk mengangkut pesakit tersebut setelah menerima panggilan kecemasan dari pihak hospital
  • Operasi pemindahan melibatkan lima anggota APM Besut dan selamat tiba di destinasi pada pukul 2.30 petang
  • Pesakit, Muhammad Azrol Haffiz, dirujuk ke HSNZ kerana jangkitan kuman dalam darah yang memerlukan rawatan segera

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!