Esok majlis kahwin, dewan ditempah rupanya tiada

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM – Seorang perunding perkahwinan berkongsi pengalamannya menerima panggilan telefon daripada seorang bakal pengantin lelaki yang mendakwa ditipu oleh sebuah syarikat penyewaan dewan perkahwinan, hanya beberapa jam sebelum majlis mereka berlangsung.

Perunding bernama Sophie Nadia Hassan, 45, itu berkata, panggilan tersebut diterima kira-kira jam 12 tengah malam daripada nombor tidak dikenali.

Ujar Sophie Nadia, dia mengambil keputusan mengangkat panggilan tersebut kerana bimbang ia melibatkan perkara kecemasan.

“Saya awalnya macam malas hendak angkat panggilan sebab nombor tidak kenal tetapi apabila fikir balik, angkat sahaja sebab takut ada kecemasan.

“Bila angkat panggilan, suara lelaki (dalam panggilan) itu kedengaran panik dan sedih. Dia cakap ‘Ini (pengurusan) dewan kan? Dewan Shah Alam saya tak jadi buat majlis.

“Katanya, dewan yang ditempah sebelum ini menipu dan dia perlu cari dewan baharu untuk kahwin esok juga,” katanya menerusi perkongsian di Thread pada Ahad.

Tangkap layar gambar daripada video perkongsian di Thread. Gambar kecil: Sophie Nadia
Tangkap layar gambar daripada video perkongsian di Thread. Gambar kecil: Sophie Nadia

Menurut Sophie Nadia yang menetap di Rawang, Selangor, majlis pasangan berkenaan dijadual berlangsung pada Sabtu dengan anggaran kehadiran kira-kira 500 tetamu.

Artikel Berkaitan:

Membuat keputusan untuk membantu, perunding tersebut segera menghubungi dua pemilik dewan bagi mendapatkan kekosongan pada tarikh berkenaan.

Sophie Nadia turut menghubungi pihak penyedia makanan bagi memastikan penyediaan makanan dapat dilakukan dalam masa beberapa jam.

“Satu pemilik dewan dan ‘caterer’ itu tidak dapat buat. Namun, pemilik dewan perkahwinan di Sungai Buloh bagi ‘lampu hijau’ dan arahkan kumpulan serta tukang masak mereka untuk buat persediaan majlis berkenaan.

“Alhamdulillah, tukang masak maklumkan bahan mentah untuk majlis pada Ahad masih boleh digunakan. Jadi pengantin boleh teruskan majlis ikut perancangan asal, jam 11 pagi,” ujarnya.

Ujar Sophie Nadia, urusan tempahan dan pembayaran juga berjaya diselesaikan sekitar jam 3 pagi.

“Pengantin perempuan tiba di dewan seawal jam 8 pagi untuk sesi solekan, sementara ahli keluarga kedua-dua belah pihak hadir membantu memastikan kelancaran majlis.

“Pasangan pengantin itu juga difahamkan membuat laporan polis pada malam sama berhubung dakwaan penipuan berkenaan.

“Majlis nampak seperti dirancang rapi, langsung tak kelihatan seperti dibuat secara tergesa-gesa. Keluarga pengantin juga sangat tenang dan memberi kerjasama penuh,” katanya.

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!