PM sertai solat jenazah Tun Abdul Hamid

PUTRAJAYA- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di Musolla Taman Selatan Presint 20 bagi menziarahi jenazah bekas Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad.
Beliau tiba jam 4.50 petang disambut oleh salah seorang ahli keluarga terdekat sebelum menyertai solat asar dan solat sunat jenazah.
Hampir 200 ahli keluarga dan kenalan hadir bagi memberi penghormatan terakhir.
Antara kenamaan yang turut hadir Ketua Hakim Negara, Datuk Seri Wan Ahmad Farid Wan Salleh; bekas Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Datuk Seri Mustapa Mohamed dan bekas Menteri Pendidikan, Datuk Dr Mohd Radzi Jidin.
Abdul Hamid, 84, menghembuskan nafas terakhir di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) di samping isterinya, Toh Puan Hamidah Choong Abdullah dan anak-anak pada Khamis.
Abdul Hamid dilantik sebagai Pesuruhjaya Kehakiman pada 1 Mei 1990, Hakim Mahkamah Tinggi pada 1992, Hakim Mahkamah Rayuan pada 1 September 2000 dan Hakim Mahkamah Persekutuan pada 1 Ogos 2003.
Beliau kemudian dilantik sebagai Ketua Hakim Negara pada Disember 2007 hingga Oktober 2008.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

