Pemimpin Pas kesal DBKL tutup, rampas reruai anjuran MRM

SHAH ALAM - Tindakan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menutup dan merampas reruai Street Dakwah anjuran Multiracial Reverted Muslims (MRM) di Bukit Bintang semasa cuti Tahun Baharu Cina pada Selasa amat dikesali, dalam masa sama menimbulkan persoalan.
Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, umum mengetahui MRM merupakan badan bukan kerajaan (NGO) berdaftar yang bergerak menyampaikan mesej Islam sebenar kepada masyarakat, termasuk golongan belum Muslim dan Muslim.
Jelasnya, penganjur menjalankan aktiviti Street Dakwah di lokasi sama sejak lebih 14 tahun lalu dan sepanjang tempoh tersebut, kegiatan hanya bersifat penerangan, pendidikan serta pemberian kefahaman mengenai Islam kepada masyarakat umum.
"Aktiviti ini juga dilaksanakan tanpa mengganggu lalu lintas mahupun menjejaskan ketenteraman awam.
"Bagaimanapun, tindakan menghantar sejumlah pegawai untuk menutup serta merampas bahan dakwah tanpa notis atau saman menimbulkan persoalan.
"Adakah aktiviti dakwah Islam kini dianggap suatu kesalahan sedangkan Islam ialah agama Persekutuan dan kebebasan beragama serta urusan berkaitan agama dijamin di bawah Perlembagaan Persekutuan, termasuk Perkara 3(1)?" katanya menerusi hantaran di Facebook pada Rabu.
Lebih menghairankan, kata Tuan Ibrahim, pihak MRM memberitahu bahawa mereka tidak dimaklumkan sama sekali tentang keperluan pematuhan atau syarat-syarat tertentu bagi membolehkan aktiviti Street Dakwah dijalankan.
Atas dasar itu, jelasnya, timbul persoalan sama ada tindakan sedemikian benar-benar bersandarkan pematuhan undang-undang atau sebaliknya.
Katanya lagi, ia seolah-olah respons terhadap pendakwah bebas, Firdaus Wong Wai Hung yang lantang memperjuangkan isu berkaitan hak dan kepentingan Islam sejak kebelakangan ini.
Selain itu, Tuan Ibrahim menambah, tindakan penguatkuasaan pantas dan responsif ke atas reruai dakwah tersebut dilihat berbeza dengan tahap reaksi terhadap pelbagai gejala sosial yang ketara serta terbuka di sekitar Bandaraya Kuala Lumpur.
"Kegiatan tidak bermoral yang menyakitkan mata masyarakat seolah-olah dibiarkan tanpa tindakan setegas ini.
"Justeru, apa yang dikesalkan adalah keutamaan penguatkuasaan DBKL sepatutnya selari dengan kepentingan awam serta nilai kesejahteraan masyarakat.
"DBKL wajar menghargai usaha pihak yang secara sukarela mengajak masyarakat ke arah kehidupan lebih baik. Aktiviti dakwah yang dilaksanakan secara tertib sewajarnya dilihat sumbangan kepada pembinaan akhlak dan keharmonian sosial," ujarnya lagi.
Sementara itu, Ahli Dewan Negara, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz dalam hantaran berbeza turut senada dengan Tuan Ibrahim.
Beliau berpendapat, tindakan DBKL menutup dan merampas reruai Street Dakwah MRM tanpa notis amat mendukacitakan.
"Apatah lagi ia menjelang Ramadan yang mulia (tindakan DBKL) adalah buruk, mendukacitakan dan beragenda anti dakwah Islam.
"Ia wajar dikecam oleh semua umat Islam," jelas bekas ahli Parlimen Bachok itu.
Sebelum ini, Firdaus Wong yang juga pengasas MRM memberitahu, tiada notis saman atau senarai inventori dikeluarkan ketika proses rampasan dilakukan bagi menyatakan kesalahan serta butiran barangan dirampas.
Ringkasan AI
- DBKL menutup dan merampas reruai Street Dakwah MRM di Bukit Bintang semasa cuti Tahun Baharu Cina
- MRM merupakan NGO yang aktif menyampaikan mesej Islam kepada masyarakat selama lebih dari 14 tahun tanpa mengganggu ketenteraman awam
- Tindakan DBKL tidak disertai dengan notis atau saman, menimbulkan pertanyaan tentang kebebasan berkaitan agama yang dijamin oleh Perlembagaan
- Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, menegaskan kegiatan tersebut berkontribusi pada pembangunan akhlak dan keharmonian sosial
- Reaksi DBKL terhadap aktiviti dakwah berbeza dengan tanggapannya terhadap isu sosial lain, menimbulkan persoalan prioritas penguatkuasaan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

